"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis siasat kumpulan aktiviti pengantunan seksual di media sosial

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis sudah memulakan siasatan mengenai dakwaan kewujudan kumpulan yang menjalankan aktiviti pengantunan seksual kanak-kanak di media sosial.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata siasatan dilakukan selepas menerima maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Jumaat lepas.

Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Siber (Internet) Terhadap Kanak-Kanak Malaysia (MICAC) Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Unit MICAC D11 sudah memulakan proses risikan dalam talian dan menyalurkan beberapa maklumat suspek kepada pihak SKMM untuk dibuat ‘profiling’ awal sementara risikan dalam talian diteruskan bagi menimbulkan elemen yang lebih kukuh mengenai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

“Bahagian D11 bersama SKMM sedang menjalankan risikan dan siasatan lanjut ke atas maklumat itu,” katanya ketika dihubungi.

Semalam Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan SKMM ada menerima aduan mengenai kewujudan kumpulan pengantunan seksual kanak-kanak di media sosial, dan suruhanjaya itu sedang bekerjasama dengan Meta dan polis bagi siasatan lanjut.

Tiada ulasan: