"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tindakan pegawai berpangkat tinggi syarikat berkaitan kerajaan mengasari petugas media tidak boleh diterima

Pemimpin syarikat berkaitan kerajaan didakwa kasari wartawan
Malaysiakini 

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang pemimpin sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang didakwa mengasari petugas media hanya kerana bertanya soalan.

Setiausaha Agung NUJM Teh Athira Mohd Yusof berkata kejadian berlaku semasa sidang akhbar semalam, yang turut dihadiri seorang menteri.

Katanya, individu berpangkat tinggi itu mempersoal pertanyaan wartawan yang menyentuh satu kejadian di sebuah negeri, meskipun soalan tersebut dijawab dengan baik dan berhemah oleh menteri.

“Lebih membimbangkan, NUJM difahamkan individu kenamaan itu bertindak menarik kad media wartawan berkenaan secara kasar sejurus menteri meninggalkan sidang akhbar, di hadapan pengamal media lain. 

“Perbuatan ini bukan sahaja bersifat intimidasi, malah boleh ditafsirkan sebagai cubaan menakut-nakutkan wartawan dalam menjalankan tugas rasmi,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Teh Athira berkata tindakan sedemikian jelas tidak wajar, tidak profesional dan bercanggah dengan prinsip kebebasan media.

Sehingga kini, NUJM memaklumkan bahawa tiada sebarang permohonan maaf atau penjelasan rasmi dikemukakan oleh individu terbabit kepada mangsa. 

Sebaliknya, kata Teh Athiram hanya kakitangan agensi yang menyaksikan insiden itu memohon maaf secara peribadi, manakala pihak agensi didakwa hanya menghubungi pengurusan tertinggi organisasi media itu.

Menurut Teh Athira, sebarang bentuk gangguan atau penyalahgunaan kuasa terhadap wartawan semasa menjalankan tugas di lapangan tidak boleh diterima sama sekali.

“Tindakan tidak beretika ini bukan sahaja mencabuli kebebasan media, malah mencemarkan imej Kerajaan Madani yang selama ini menzahirkan komitmen terhadap prinsip keterbukaan dan penghormatan kepada media sebagai ‘kuasa ketiga’ demokrasi,” katanya.

NUJM juga mengingatkan sekali lagi peranan media sebagai pemantau kuasa dan sumber maklumat kepada rakyat adalah tunjang kepada sistem demokrasi.

Sehubungan itu, NUJM menuntut penjelasan segera agensi terbabit dan menggesa kerajaan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.

“NUJM tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menekan, mengugut atau menghalang wartawan daripada menjalankan tugas mereka dengan bebas, selamat dan beretika,” katanya.

Sementara itu, kumpulan wartawan Gerakan Media Merdeka (Geramm) berkongsi sentimen sama dengan menegaskan bahawa tiada mana-mana wartawan harus diganggu atau diintimidasi kerana mengemukakan soalan “yang sah demi kepentingan awam.”

Menurut Geraamm, tindakan sedemikian mencerminkan sikap angkuh dan tidak mempunyai tempat dalam sebuah masyarakat demokratik.

“Manakala menyasarkan wartawan wanita yang sedang menjalankan tugasnya hanya memperlihatkan unsur misogini yang mendalam.

“Kami menggesa pelaku supaya memohon maaf secara langsung kepada wartawan yang terjejas, dan bukan melalui orang tengah atau kepada syarikat media,” katanya.

Tiada ulasan: