Suharmin Yusuf

AKPS KLIA menahan seorang lelaki warganegara China kerana memiliki pas lawatan sosial tidak sah di Balai Pelepasan Antarabangsa, Terminal 2, KLIA, semalam. – Foto AKPS
SEPANG: Seorang lelaki warga China ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) selepas cuba menggunakan pas lawatan sosial tidak sah semasa pemeriksaan imigresen.
AKPS KLIA dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menahan individu terbabit pada jam 6 petang semasa pemeriksaan di Balai Pelepasan Antarabangsa, Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.
“Lelaki berumur 33 tahun itu ditahan kerana dipercayai memiliki pas lawatan sosial yang tidak sah. Semakan lanjut melalui sistem mendapati pas tersebut tidak teratur dan menyalahi peraturan yang ditetapkan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut AKPS KLIA, individu terbabit ditangkap atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kini berada di bawah jagaan Bahagian Penguatkuasaan KLIA untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, AKPS KLIA menegaskan bahawa sebarang pelanggaran undang-undang imigresen, termasuk penggunaan pas lawatan sosial yang tidak sah, akan ditangani dengan tindakan penguatkuasaan tegas.
“AKPS KLIA juga akan terus memperkukuh kawalan di semua pintu masuk antarabangsa demi memastikan keselamatan dan kepatuhan terhadap undang-undang negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan