Noorazura Abdul Rahman

Seramai 14 orang didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan di Sungai Petani, hari ini atas pertuduhan merusuh serta menggunakan senjata pada 9 dan 10 Januari lalu. – Foto NSTP
SUNGAI PETANI: Seramai 13 lelaki dan seorang wanita didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merusuh serta menggunakan senjata dalam dua kejadian yang berlaku pada 9 dan 10 Januari lalu.
Di Mahkamah Majistret 3, tujuh lelaki dan seorang wanita didakwa merusuh serta memiliki kayu dan batu dalam kejadian di Padang Taman Sutera pada 9 Januari.
K Sanmugam, 48; R Kumaravelu, 19; S Ambaselvam, 19; M Sivakumar, 21; S Muneswar, 20; S Tevam, 24; S Thevani, 25; dan seorang remaja berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menyertai rusuhan di padang berkenaan pada jam 4 petang dengan memiliki kayu dan batu yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang jika sabit boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 seorang berserta seorang penjamin dan menetapkan 22 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md Noor, manakala semua tertuduh diwakili peguam S Vikneshwaran dan S Arvind.
Di Mahkamah Majistret 2, enam lelaki didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Radzi.
V Rishitaram, 27; R Harihavan, 27; A Dineshkumar, 28; V Mathilagan, 27; S Vaveendran, 33; dan K Gotham, 21 didakwa kerana menyertai rusuhan serta menggunakan topi keledar, parang dan sebuah kereta sebagai senjata, yang menyebabkan kecederaan terhadap S Thevani dan S Tevan di Jalan Utama Taman Songketjam pada 5 pagi, 10 Januari.
Semua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM2,500 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Saffiya Kamarulzaman, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan