KOSMO

Pihak tuan rumah melempar wang dari atas bumbung rumah. - Agensi
JAKARTA – Sebuah majlis perkahwinan di Garut, wilayah Jawa Barat menjadi perhatian pengguna media sosial selepas tuan rumah melempar wang kepada tetamu dari atas bumbung, lapor laman berita Pikiran Rakyat BMR semalam.
Dalam video yang tular di media sosial, orang ramai dilihat berebut-rebut mengutip duit yang jatuh di atas tanah.
Wang kertas yang dibahagikan bernominasi 5,000 rupiah (RM1), 10,000 rupiah (RM2.30) dan 20,000 rupiah (RM5).
Berdasarkan keterangan video, jumlah wang yang diberikan adalah kira-kira 25 juta rupiah (RM6,000).
“Sudah hampir sejam, namun wang yang diberikan masih banyak. Benar-benar majlis perkahwinan yang mewah,” kata seorang individu dalam video tersebut.
Kejadian itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen, dengan ada yang menganggap tradisi itu sebagai satu bentuk kemurahan hati pihak tuan rumah.
Bagaimanapun, beberapa pengguna media sosial lain mempersoalkan kaedah pemberian sumbangan yang dianggap tidak tersusun dan berpotensi menyebabkan rempuhan. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan