"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua wanita maut tercampak keluar dari Mercedes-Benz di Lebuhraya Persekutuan

Safeek Affendy Razali
am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Dua penumpang sebuah Mercedes-Benz maut selepas tercampak keluar dari kenderaan berkenaan yang terbabas di Kilometer 34 Lebuhraya Persekutuan, berhampiran susur masuk dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), awal pagi tadi.

Kedua-dua mangsa yang juga wanita berusia 20-an dan 30-an, disahkan maut di lokasi kejadian, manakala pemandunya melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kereta itu dilaporkan terbabas sebelum melanggar tebing di lebuh raya berkenaan, di laluan menghala ke ibu negara.

"Kejadian berlaku jam 5.30 pagi, ketika kereta berwarna emas itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tebing di bahu kiri jalan.

"Kenderaan itu kemudian berpusing menyebabkan dua penumpang di bahagian belakang tercampak keluar melalui cermin belakang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kereta terbabit dipercayai dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 20-an.

"Polis sedang mengesan pemandu kenderaan terbabit yang dipercayai melarikan diri selepas kejadian," katanya.

Shamsudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta mana-mana saksi yang melihat atau berada di lokasi kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor M Sivam di talian 017-3290749 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan.

Tiada ulasan: