"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Pemandu Toyota Estima lari selepas kemalangan, polis jumpa peralatan pecah rumah

Paya Linda Yahya
Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di KM 65 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, hari ini. Foto ihsan PDRM
GUA MUSANG: Polis sedang mengesan pemandu Toyota Estima yang melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 65 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pagi tadi.

Pengesanan itu dilakukan susulan penemuan beberapa peralatan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pecah rumah di dalam kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 7 pagi tadi yang membabitkan dua kenderaan, iaitu Nissan Grand Livina dan Toyota Estima.

Katanya, Nissan Grand Livina yang dipandu lelaki berusia 56 tahun dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai cuba mengelak sebelum bergesel dengan Toyota Estima yang sedang memotong dari arah bertentangan.

“Akibat pergeselan itu, pemandu Nissan Grand Livina hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan sebelum melanggar penghadang jalan konkrit dan mengalami kecederaan ringan.

“Bagaimanapun, pemandu Toyota Estima meninggalkan lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian turut menemukan peralatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pecah rumah di dalam Toyota Estima,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Rule 12(3), LN 167/59, iaitu kesalahan memotong di garisan berkembar.

Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan serta mengesan pemandu Toyota Estima terbabit.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-912 1222,” katanya.

Tiada ulasan: