NORLIDA AKMAR IDROS

ADZLI menunjukkan rumah yang menjadi tempat remaja dikurung dan dipukul sehingga maut di Gurun pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar hari ini.
ALOR SETAR – Seorang remaja lelaki melalui azab pedih apabila dikurung dan diseksa selama dua hari sebelum mayatnya dibuang di tepi semak berhampiran Jalan Harvard Golf Club, Gurun, Khamis lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, mangsa yang berusia 19 tahun dipercayai dilarikan sekumpulan suspek pada Isnin lalu sebelum dikurung dan dipukul di sebuah rumah di Gurun.
Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada kemarahan suspek selepas menerima aduan penduduk yang mendakwa mangsa mencuri motosikal.
“Mangsa dituduh mencuri motosikal, namun ia tuduhan tanpa ada laporan polis dibuat. Mereka tangkap suspek ini pada Isnin lalu dan bawa balik ke rumah salah seorang tangkapan di Gurun.
“Bagi kes ini, kita telah menahan reman seramai 14 suspek berusia antara 16 hingga 24 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian ini termasuk memukul mangsa sehingga maut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa dipercayai dipukul selama dua hari, selain rambutnya digunting sebelum meninggal dunia pada malam Rabu lalu.
“Mayat mangsa kemudian dibuang di tepi jalan dekat Jalan Harvard Golf Club sebelum ditemukan oleh orang awam. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan hentakan di kepala oleh daya objek tumpul,” ujarnya.
Adzli berkata, polis berjaya menahan kesemua suspek di sekitar Gurun dan Guar Chempedak antara pukul 12 tengah hari hingga 8.30 malam pada hari sama.
Dalam tangkapan itu, polis turut merampas 14 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta Honda City berwarna perak, gunting dan kad pengenalan milik mangsa.
Beliau berkata, hanya seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Saya ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak bertindak sendiri kepada mana-mana suspek bagi sebarang jenis jenayah, termasuk mencuri mahupun merompak.
“Apa yang perlu dilakukan adalah buat laporan polis dan serahkan siasatan dan tindakan kepada pihak polis,” katanya.
Kosmo! pada Khamis lalu melaporkan mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan ditemukan orang awam dalam keadaan terbaring di tepi semak berhampiran Jalan Harvard Golf Club, di sini.
Dalam pada itu, ibu mangsa, Azura Zor, 41, meluahkan kesedihan selepas mayat anaknya, Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 19, ditemukan selepas remaja itu gagal dihubungi sejak bulan lalu.
Azura berharap kes pembunuhan anaknya disiasat hingga tuntas, manakala mereka yang terlibat ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan