"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua lelaki serang, pukul warga emas di Plentong

MOHD SHARKAWI LONDING
TANGKAP layar video dua lelaki menyerang seorang warga emas dipercayai berlaku di Plentong, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU – Seorang warga emas berdepan detik mencemaskan apabila dipercayai menjadi mangsa serangan dua lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah kedai mencuci kereta di Plentong, di sini.

Kejadian itu tular di media sosial selepas rakaman video berdurasi dua minit 54 saat memaparkan tindakan ganas suspek terhadap mangsa tersebar sejak malam tadi.

Menerusi rakaman tersebut, mangsa dilihat ditolak sebelum ditendang dan ditampar oleh lelaki terbabit.

Lebih mengejutkan, mangsa yang sudah berusia itu dilihat tidak berdaya berdepan tindakan agresif individu berkenaan.

Kejadian tersebut mengundang kemarahan netizen yang rata-rata mengecam tindakan lelaki terbabit, selain meluahkan rasa simpati terhadap nasib mangsa.

Rata-rata pengguna media sosial turut mempersoalkan punca kejadian sehingga menyebabkan warga emas berkenaan diperlakukan sedemikian rupa.

Bagaimanapun, motif sebenar kejadian serta punca perselisihan faham yang dipercayai mencetuskan insiden itu belum dapat dipastikan.

Orang ramai turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu terbabit dan mengambil tindakan sewajarnya. – KOSMO! ONLINE

Kerjasama UMNO-PAS sukar diperluas ke SG4

Zanariah Abd Mutalib
zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kerjasama antara UMNO dan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) berpotensi melonjakkan sokongan kepada kedua-dua parti, terutama dalam kalangan pengundi Melayu, sekali gus boleh membawa kemenangan.

Bagaimanapun, berdasarkan situasi semasa, penganalisis politik melihat formula itu kemungkinan sukar dilaksanakan pada PRU dan di empat negeri yang dikuasai Perikatan Nasional (PN) atau (SG4) kerana ia tidak akan memberi kelebihan kepada UMNO-Barisan Nasional (BN).

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Azmi Hassan, berkata situasi pada PRU dan SG4 atau negeri lain kelak agak berbeza, walaupun persefahaman politik antara BN dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 sebelum ini terbukti menguntungkan kedua-dua pihak sebelum diteruskan pada PRN Melaka.

"Kerjasama di Melaka menggunakan formula incumbency (penyandang jawatan) dan ini menguntungkan BN kerana gabungan itu mempunyai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Bagaimanapun, formula ini kemungkinan sukar diterima UMNO-BN jika bertanding di SG4 atau negeri seperti Perak dan Pahang kerana kerusi mereka kurang berbanding PAS.

"Jadi, saya melihat kerjasama ini tidak akan dipanjangkan ke SG4, PRN lain atau PRU16 kerana ia dilihat lebih menguntungkan PAS, bukan BN," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyifatkan kerjasama antara UMNO dan PAS pada PRN Melaka sebagai medan menguji formula politik baharu menjelang PRU akan datang.

Mohamed Khaled berkata, kerjasama itu bukan sekadar bertujuan memastikan kemenangan calon BN, malah membawa matlamat lebih besar untuk menyatukan masyarakat Melayu.

Sementara itu, penganalisis politik dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Mazlan Ali, turut berpandangan pembahagian kerusi bagi PRU16 agak sulit jika kerjasama UMNO-PAS diteruskan.

"Naratif Melayu-Islam menjadi faktor penyatuan yang membawa kejayaan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan kerana undi Melayu tidak berpecah.

"Bagaimanapun, bagi PRU16, itu belum pasti. Formula perkongsian di Melaka boleh diterima PAS kerana mereka tidak mempunyai pengaruh yang besar. Jika bertanding solo pun, mereka tidak akan menang.

"Kerjasama di SG4 juga mungkin sukar kerana PAS tidak akan menyerahkan kerusinya di negeri berkenaan, kecuali jika UMNO sanggup menerima apa-apa sahaja keputusan PAS, sebagaimana PAS sanggup menerima keputusan UMNO di Melaka," katanya.

Lebih 3,000 maut akibat asap kebakaran hutan di Indonesia

Utusanonline

PENCEMARAN asap akibat kebakaran hutan menyebabkan 3,560 maut di Indonesia. - AFP
JAKARTA: Pencemaran akibat asap daripada kebakaran hutan yang berlarutan selama beberapa bulan di Indonesia dianggarkan menyebabkan 3,560 kematian di negara kepulauan Asia Tenggara itu pada September lalu, menurut satu kajian baharu.

Pada bulan sama, kira-kira 57.8 juta penduduk Indonesia terdedah kepada udara tidak sihat hingga berbahaya, menurut Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA), sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Helsinki.

“Kualiti udara yang semakin merosot akibat kebakaran hutan dan tanah di Indonesia menyebabkan jumlah kematian dianggarkan mencecah 3,560 kes pada September 2026, meningkat dua kali ganda berbanding anggaran pada Ogos,” menurut kenyataan CREA pada Khamis.

Kajian CREA menganggarkan jumlah kematian akibat pencemaran zarah halus PM2.5 dalam jangka pendek, iaitu dalam tempoh beberapa hari.

Zarah PM2.5 cukup kecil untuk menembusi paru-paru atau memasuki aliran darah, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengaitkan pendedahan kepada zarah itu dengan peningkatan risiko penyakit dan kematian pramatang.

Menurut laporan itu, kebanyakan kematian yang dianggarkan berlaku di wilayah Kalimantan di pulau Borneo, selain di pulau Jawa dan Sumatera serta kawasan timur Indonesia.

Penyelidik turut meneliti pencemaran bukan berpunca daripada kebakaran, termasuk aktiviti penjanaan kuasa di bandar, sektor perindustrian dan pengangkutan. 

Mereka mendapati faktor berkenaan menyebabkan tambahan 1,750 kematian pada September, menjadikan jumlah keseluruhan 5,310 kematian di negara yang mempunyai kira-kira 290 juta penduduk itu.

“Pada September sahaja, tahap pendedahan kepada pencemaran melebihi paras ambang tahunan PM2.5 yang ditetapkan WHO,  lebih tujuh kali ganda di peringkat nasional, 10 kali ganda di Sumatera dan membimbangkan apabila mencecah 24 kali ganda di Kalimantan,” menurut laporan itu.

Lebih 330,000 kes jangkitan saluran pernafasan akut direkodkan di seluruh negara.

Berikutan kemarau yang semakin buruk akibat fenomena cuaca El Nino, Indonesia sejak beberapa bulan lalu bergelut untuk memadamkan kebakaran hutan yang menurut pemantau pembalakan hutan, Nusantara Atlas, memusnahkan lebih 1.9 juta hektar kawasan dalam tempoh sembilan bulan hingga September.

Jerebu akibat kebakaran itu menyebabkan paras pencemaran meningkat sehingga turut menjejaskan Malaysia, Singapura, Filipina dan Timor-Leste, sekali gus menjejaskan hubungan Indonesia dengan negara jirannya. – AFP

'Penjenayah itu berbaju hujan, bawa pedang' – Saksi kongsi detik cemas rompakan kedai emas di Damansara Damai

Harian Metro

Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Yani, 40-an, mendakwa ketika kejadian jam 1 tengah hari itu, dia yang hamil tiga bulan sedang bekerja di kedai pencuci mulut bersebelahan kedai emas itu.

"Saya terdengar kekecohan dan terus bersembunyi di belakang kaunter kerana terlalu takut. Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

"Selepas lelaki itu beredar, baru saya mendengar pekerja kedai emas menjerit 'samun, samun'," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Yani yang baru dua bulan bekerja berkata, dia sama sekali tidak menyangka insiden sedemikian boleh berlaku di kawasan berkenaan.

Katanya, dia sempat melihat kelibat suspek yang sedang melarikan diri dari lokasi kejadian.

"Suspek memakai baju hujan labuh berwarna hitam, seluar hitam dan topi keledar.

"Apa yang mengejutkan saya ialah dia tidak berlari, sebaliknya hanya berjalan kaki meninggalkan lokasi," katanya yang memberitahu rompakan berlaku dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Yani dimaklumkan pekerja kedai emas itu bahawa penjenayah bersenjatakan objek tajam menyerupai pedang samurai sepanjang dua hingga tiga kaki.

"Pekerja kedai emas itu memberitahu saya bahawa senjata itu terjatuh di dalam kedai sebelum suspek melarikan diri," katanya.

Dia percaya suspek sengaja menyasarkan kedai emas berkenaan berikutan tahap keselamatan premis yang agak longgar.

"Tiada pengawal keselamatan yang bertugas di kedai emas itu. Saya juga percaya suspek sengaja memilih waktu solat Jumaat berikutan keadaan sekeliling yang agak lengang pada masa itu," katanya.

Sementara itu, seorang pekerja pasar raya yang dikenali sebagai Lim, 51, berkata, dia turut terserempak dengan suspek ketika sedang mengemas troli beli-belah.

Katanya, suspek menutup seluruh badan serta mukanya dengan pelitup muka dan topi keledar, sekali gus menyukarkan proses pengecaman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, polis sudah merakam keterangan daripada pekerja kedai emas dan beberapa saksi lain bagi membantu siasatan.

"Usaha juga sedang dijalankan untuk menganalisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti laluan suspek melarikan diri," katanya.

Beliau mengesahkan suspek dilaporkan melarikan diri bersama barang kemas yang dianggarkan bernilai lebih RM300,000.

"Satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan, manakala usaha memburu suspek kini giat dijalankan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.

Remaja dicekup separuh bogel dalam kereta

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Sepasang kekasih terpaksa menanggung malu apabila ditahan dalam keadaan separuh bogel oleh penguat kuasa agama selepas disyaki cuba melakukan persetubuhan di dalam kereta, malam tadi.

Pasangan berusia 17 dan 21 tahun itu ditahan pada 11.20 malam di tempat letak kenderaan Pura Kencana, Sri Gading, di sini.

Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), anggota penguat kuasanya menjalankan rondaan di sekitar taman perumahan itu sebelum terserempak dengan sebuah kereta yang diparkir di kawasan gelap.

"Sebaik menghampiri kenderaan itu, penguat kuasa mendapati enjin masih hidup, namun lampu kereta tidak dinyalakan. Anggota kemudian menggunakan lampu suluh dan ternampak kelibat individu di dalamnya.

"Ketika cermin kereta diketuk penguat kuasa, secara tiba-tiba kereta itu mengundur, namun pemandunya berhenti dipercayai selepas menyedari van JAINJ menghalang laluan. Apabila pintu dibuka, seorang lelaki dilihat berada di tempat duduk pemandu dengan hanya memakai baju-T tanpa seluar.

"Pada masa sama, penguat kuasa menemukan seorang remaja perempuan di tempat duduk belakang dalam keadaan hanya memakai seluar panjang tanpa baju," menurut kenyataan itu.

JAINJ berkata, hasil soal siasat mendapati lelaki berusia 21 tahun itu masih bujang dan bekerja di Batu Pahat, manakala remaja perempuan berusia 17 tahun masih bersekolah.

Pasangan berkenaan ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 24 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

10 maut, 24 cedera nahas bas di Giza, Mesir

BERNAMA
10 orang terkorban manakala 24 lagi cedera dalam nahas perlanggaran antara sebuah bas dan lori di Wilayah Giza, Mesir.
KAHERAH – Seramai 10 orang terkorban manakala 24 lagi cedera dalam nahas perlanggaran antara sebuah bas dan lori di Wilayah Giza, Mesir, menurut Kementerian Kesihatan Mesir pada Sabtu berdasarkan jumlah korban awal.

Nahas itu berlaku di persimpangan Jalan Lingkaran Tengah dan Lebuh Raya Al-Dabaa, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 20 ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian dan kesemua mangsa yang cedera dibawa ke hospital berhampiran bagi menerima rawatan perubatan. -Bernama

Penduduk kebas ubat bertaburan jatuh di jalan raya

KOSMO
TANGKAP layar video menunjukkan orang ramai mengambil ubat-ubatan yang terjatuh dari sebuah lori. - Instagram
JAKARTA – Penduduk di Labuhan Batu, wilayah Sumatera Utara menerima kecaman orang ramai kerana mengambil beribu-ribu kotak berisi ubat selepas sebuah lori yang membawa muatan barang itu terlibat dalam kemalangan. 

Kejadian berlaku di Jalan Lintas Sumatera, Bilah Hulu, baru-baru ini. 

Sebuah bas dilaporkan memotong selekoh sebelum melanggar lori berkenaan yang datang dari arah bertentangan, menyebabkan ubat-ubatan tersebut bertaburan di tengah jalan. 

Kemalangan itu turut menyebabkan lima orang cedera serta kesesakan lalu lintas sepanjang 15 kilometer. 

Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @pointofview.news menunjukkan orang ramai berpusu-pusu meletakkan ubat ke dalam beg serta guni.

Perbuatan itu mengundang kecaman netizen. Mereka menuduh penduduk setempat hanya mementingkan diri sendiri dan tidak berperikemanusiaan. – AGENSI

Rafizi: Penyokong Bersama akan 'sembelih' saya jika bincang nak gabung

N Faizal Ghazali

Pemimpin Bersama, Rafizi Ramli, secara berseloroh berkata penyokong parti itu akan “menyembelihnya” jika Bersama menyertai mana-mana gabungan politik.

Menurutnya, pengundi semakin bosan dengan kerjasama politik yang dibentuk atas dasar perebutan kuasa.

“Saya rasa kalau Bersama buat keputusan tiba-tiba nak masuk, nak bincang dengan gabungan, dia orang (penyokong) ini akan sembelih saya.

“Jadi keadaan politik di Malaysia sekarang ini jadi kucar-kacir sebab gabungan dan gabungan ini atas alasan pragmatik kononnya untuk berkuasa,” katanya kepada media ketika mengiringi calon Bersama di DUN Bukit Katil, Melaka, hari ini.

Bersama bertanding secara solo dengan meletakkan calon di 16 kerusi pada PRN Melaka yang akan berlangsung pada 14 Nov ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata rakyat akhirnya akan mencari alternatif kepada keadaan politik yang kucar-kacir akibat pembentukan pelbagai gabungan.

“Yang rakyat nampak ialah kucar-kacir politik ini, sebenarnya mencelarukan semua, jadi memang kalau nak kira Bersama ambil risiko kerana conversation wisdom kena ada gabungan semua.

“Tapi saya rasa parti-parti politik juga terlalu yakin dengan rakyat kononnya akan kekal dengan mereka sampai bila-bila.

“Rakyat bila sampai masa dia bosan dan dia mula mencari antithesis kepada apa yang berlaku, antithesis kepada kecelaruan politik yang berlaku ini ialah satu parti yang berprinsip, yang berani untuk masuk sendiri dan kekal dengan prinsip sendiri,” jelasnya yang juga bekas timbalan presiden PKR.

DUN Melaka yang mempunyai 28 kerusi dibubarkan pada 23 Sept selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 Nov.

Seramai 687,697 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis.

Pada PRN Melaka ke-15 yang berlangsung pada 20 Nov 2021, BN memenangi 21 kerusi DUN, dengan Umno menguasai 18 kerusi, MCA (dua) dan MIC (satu), sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga.

PH pula memenangi lima kerusi menerusi DAP (empat) dan Amanah (satu), manakala PN memperoleh dua kerusi.

2 beranak disyaki kasari penguat kuasa MPM direman dua hari

Alias Abd Rani
Gambar tular seorang penguat kuasa MPM terjatuh selepas bergelut dengan wanita ketika operasi menangkap anjing. Foto tular
MUAR: Polis membuka dua kertas siasatan terhadap dua beranak yang disyaki mengasari anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Muar (MPM) ketika menjalankan operasi menangkap anjing liar di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kedua beranak berusia 24 dan 52 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awan dan Seksyen 353 kanun sama, menggunakan kekerasan jenayah.

Menurut Raiz Mukhliz, dua beranak itu juga direman di Mahkamah Majistret Muar selama dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 5.45 pagi kelmarin ketika anggota MPM menjalankan operasi bersepadu menangkap anjing liar di kawasan berkenaan.

“Tindakan itu mencetuskan pergelutan apabila seorang anggota penguat kuasa wanita cuba meleraikan situasi itu,” katanya.

Menurutnya, anggota penguat kuasa MPM berusia 45 tahun itu cedera di lengan kiri berdasarkan pemeriksaan perubatan dijalankan.

Tambahnya, dua beranak itu kemudiannya ditahan pada hari kejadian di rumah mereka di Bukit Pasir.

“Ujian saringan air kencing mendapati dua beranak itu negatif bahan terlarang. Polis masih menjalankan siasatan dengan mengambil keterangan saksi berkaitan bagi melengkapkan siasatan.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa ketika operasi penguatkuasaan dijalankan serta tidak bertindak menghalang penjawat awam menjalankan tugas mereka,” katanya.

Disyaki terlibat pergaduhan di Ampang Jaya, 17 individu ditahan

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis menahan 17 individu bagi membantu siasatan insiden pergaduhan di kawasan Flat Lembah Jaya, Ampang Jaya, dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian di Jalan 3, Lembah Jaya Utara itu pada 2.07 pagi.

"Anggota peronda telah diarahkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan, bagaimanapun mendapati tiada pergaduhan berlaku.

"Namun, terdapat sekumpulan orang awam berkumpul di lokasi dan bertindak menahan 17 individu bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairul Anuar berkata kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan semua yang ditahan direman antara dua hingga ke tiga hari.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.

Terdahulu tular dua video di media sosial memaparkan sekumpulan individu berkumpul di kawasan tempat letak kereta flat berkenaan.

-- BERNAMA

Penduduk lapah jerung paus yang terdampar di pantai

KOSMO
TANGKAP layar video menunjukkan penduduk tempatan menarik jerung paus itu ke darat sebelum mengambil dagingnya. - Lambe Turah
JAKARTA – Penduduk di Kabupaten Sikka, wilayah Nusa Tenggara Timur menerima kecaman orang ramai kerana dirakam memotong seekor jerung paus yang terdampar di sebuah pantai, lapor laman berita Lambe Turah. 

Jerung paus itu ditemukan terdampar di Pantai Lowolabo di Desa Lowolabo, baru-baru ini. 

Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan penduduk tempatan serta nelayan menarik haiwan marin itu ke darat menggunakan tali sebelum mengambil isinya dan diagihkan kepada orang ramai. 

Pegawai tempatan bernama Fransiskus Ignasius Sino berkata, jerung tersebut masih mempunyai peluang yang cerah untuk hidup jika ia menerima bantuan yang sewajarnya. 

“Ia masih boleh diselamatkan tetapi kekurangan pemahaman orang ramai, mereka mengambil tindakan yang melanggar undang-undang.

“Kami akan mengambil pendekatan yang sesuai terhadap individu yang terlibat, salah satunya adalah dengan memberi amaran,” kata Fransiskus. 

Pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk segera melaporkan sebarang haiwan marin yang terdampar supaya ia dapat dikendalikan mengikut prosedur operasi standard (SOP). – AGENSI

3 budak minta tolong bomba, wang belanja RM2 tersangkut pada basikal

KOSMO

JAKARTA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Jakarta Timur terkejut apabila diminta oleh tiga kanak-kanak lelaki untuk ‘menyelamatkan’ wang belanja 10,000 rupiah (RM2) yang tersangkut pada pemegang (handle) basikal, lapor laman berita Lambe Turah. 

Ketiga-tiga budak lelaki itu datang ke Balai Bomba Mantraman selepas wang saku milik salah seorang daripada mereka tersangkut pada pemegang basikal. 

Pasukan bomba segera bertindak balas selepas menerima aduan tersebut dan wang bernominasi 10,000 rupiah itu berjaya dikeluarkan tanpa rosak. 

Jabatan Bomba dan Penyelamat Jakarta Timur memberi nasihat kepada kanak-kanak untuk sentiasa melindungi wang saku mereka. 

“Jabatan Bomba Jakarta Timur sentiasa bersedia untuk sebarang aduan tanpa mengira tahap kepentingannya,” katanya di media sosial. – AGENSI

Renjat ayam hingga mati, premis di Puchong didapati sembelih bangkai

Bernama

SHAH ALAM: Premis yang dipercayai menjadi lokasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam tanpa sijil halal sah di Puchong didapati menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik dalam proses pengendalian ayam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Salehuddin Saidin berkata, pemeriksaan awal mendapati kadar voltan elektrik dipercayai digunakan terlalu tinggi sehingga menyebabkan ayam mati serta-merta sebelum melalui proses penyembelihan.

“Siasatan awal mendapati premis itu menggunakan kaedah ‘stunning’ (dan) ayam didapati mati sebelum disembelih. Ini seolah-olah mereka menyembelih bangkai dan bukan lagi ayam hidup seperti mana diperlukan mengikut ajaran Islam sebenar,” katanya.

Salehuddin berkata demikian ketika ditemui pada Program Deklarasi Fundamental Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) Negeri Selangor 2026 yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Beliau berkata, siasatan di premis itu tengah malam tadi diketuai Jais dan melibatkan polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling.

Menurutnya, keadaan itu jelas menimbulkan keraguan terhadap pematuhan hukum syarak dan status halal produk ayam diproses yang menjadi fokus utama siasatan pihak berkuasa.

Salehuddin berkata, siasatan awal mendapati pusat penyembelihan yang beroperasi dari 2004 itu dipercayai dimiliki individu beragama Islam dan membekalkan ayam diproses kepada restoran dimiliki umat Islam.

“Perbuatan mematikan ayam sebelum disembelih adalah perbuatan amat tidak bertanggungjawab. Kita akan pastikan tindakan tegas diambil,” katanya.

“Syarikat telah beroperasi lebih 20 tahun, bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku dan mengapa mereka begitu mudah memperdayakan orang Islam.”

Susulan dapatan itu, Salehuddin berkata, pihak berkuasa telah mengarahkan penutupan premis kilang tersebut selama dua minggu di bawah peruntukan kesihatan bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.

Beliau menggesa pemilik restoran yang menerima bekalan daripada syarikat itu agar menghentikan penggunaan produk ayamnya serta-merta dan melaporkan sebarang maklumat meragukan kepada Jais, Jakim atau polis.

“Saya juga menyeru umat Islam serta pemilik restoran dan pengusaha makanan apabila mendapatkan bekalan ayam, semak dari mana sumbernya kerana mereka perlu memastikan makanan halal untuk umat Islam,” katanya.

Terdahulu, Jais merampas lebih 6.5 tan metrik ayam mentah bernilai RM85,400 yang dipercayai diproses tanpa mematuhi kaedah sembelihan Islam menerusi Op Taring Chiller dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong pada 12.40 tengah malam tadi.

Anggota polis direman terima wang RM3,000 Oleh

NOR AINNA HAMZAH
Suspek dibawa untuk proses permohonan reman di Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah RM3,000. Foto IHSAN SPRM
SEREMBAN – Seorang anggota polis direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM3,000 daripada pasangan suami isteri sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan berhubung kes gaduh membabitkan ahli keluarga mereka.

Perintah reman sehingga 3 November ini dikeluarkan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.

Suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan pada pukul 10 malam semalam di sebuah ibu pejabat polis di negeri ini.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah itu kelmarin ketika menyiasat kes membabitkan pasangan suami isteri di pejabatnya.

Wang itu dipercayai sebagai balasan supaya suspek tidak mengambil tindakan terhadap kes pergaduhan yang melibatkan ahli keluarga pasangan berkenaan.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Bila agaknya masalah pendatang haram ni nak selesai: 181 PATI ditahan di Pasar Raja Bot

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Seramai 181 warga asing disyaki Pati ditahan dalam Op Mega di Pasar Raja Bot di Chow Kit, Kuala Lumpur hari ini. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Seramai 181 warga asing disyaki Pati ditahan dalam Op Mega di Pasar Raja Bot di Chow Kit, Kuala Lumpur hari ini. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil 
Kuala Lumpur: Suasana sekitar Pasar Raja Bot di Chow Kit, di sini, yang menjadi tumpuan warga asing terutama dari Indonesia bertukar kecoh apabila kira-kira 200 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen (JIM) mengepung kawasan itu.

Timbalan Pengarah (Operasi) JIM Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, serbuan Ops Mega Bersepadu itu bermula pada 9.40 pagi menyaksikan 181 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, lokasi itu dikenal pasti sebagai antara 224 kawasan panas di seluruh negara yang menjadi tumpuan PATI terutama dari Indonesia.

Katanya, warga asing yang ditahan itu membabitkan 106 lelaki, 41 wanita serta kanak-kanak warga Indonesia, lelaki Bangladesh (20), lelaki India (3), lelaki Nepal (5), lelaki Pakistan (1) dan empat dewasa serta seorang kanak-kanak daripada lain-lain kewarganegaraan.

"Keseluruhan individu ditahan terdiri daripada 136 lelaki dan 45 wanita berusia 10 hingga 55 tahun, mereka dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

Menurutnya, operasi bersepadu itu membabitkan 264 pegawai dan anggota daripada JIM Kuala Lumpur, JIM Perak, JIM Pahang, JIM Melaka, JIM Putrajaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, secara keseluruhannya seramai 512 individu diperiksa dalam operasi berkenaan.

"Pelbagai cara digunakan warga asing termasuk menyorok di atas bumbung bagi mengelak ditahan, namun penggunaan dron membolehkan mereka dikesan," katanya.

Wartawan yang mengikuti operasi sempat merakam pelbagai gelagat dan kerenah warga asing ketika cuba melarikan diri termasuk memberikan 1,001 alasan tidak munasabah ketika diberkas.

Antara alasan yang paling kerap diberikan membabitkan mereka yang tiada dokumen perjalanan sah bagi mengelak ditahan termasuk, 'datang beli ikan', 'beli makanan sahaja' dan 'jumpa kawan'.

Pada masa sama, ada juga warga asing yang memiliki dokumen perjalanan sah namun melarikan diri dan bersembunyi kerana panik.

Petrol campur air: Stesen minyak di Sungai Buloh disiasat

MEDIA MULIA
​SUNGAI BULOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan memulakan siasatan ke atas sebuah stesen minyak di daerah ini yang didakwa menjual petrol bercampur air pada 19 Oktober lalu.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, sepasukan pegawai dihantar ke premis tersebut pada hari sama bagi menyiasat aduan tersebut.

​”Sebanyak tiga sampel petrol RON95 diambil dari pam untuk dihantar untuk tujuan analisis oleh Jabatan Kimia bagi mengesahkan sekiranya wujud campuran seperti yang didakwa,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Muhamad Hanif berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut dan satu kertas inkuiri dibuka bagi menyiasat perkara berkenaan.

​Katanya, premis tersebut turut diberikan nasihat dan amaran supaya sentiasa memastikan kualiti petrol serta mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan.

​Terdahulu, tular di media sosial berhubung satu hantaran dimuat naik pengguna Threads yang mendakwa membeli petrol RON95 di pam minyak yang bercampur dengan air.

Sebelum ini Muhamad Hanif dilaporkan berkata, pihaknya menerima sebanyak 10 aduan berhubung isu minyak petrol disyaki bercampur air di tujuh pam minyak di Selangor.

PRN Melaka: Senarai penuh calon yang bertanding dalam pilihan raya

N1. Kuala Linggi

Rosli Abdullah (BN)
Mukhlisul Mubin Julasapiyah (PH)
Dr Farhana Hamzah (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Rosli Abdullah (BN) – 3,554 undi (majoriti 1,836 undi).

N2. Tanjung Bidara

Ab Rauf Yusoh (BN)
Yunazri Mustamiri (PH)

Pemenang PRN 2021: Ab Rauf Yusoh (BN) – 3,559 undi (majoriti 364 undi).

N3. Ayer Limau

Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN)
Jaimi Dimon (PH)

Pemenang PRN 2021: Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN) – 3,838 undi (majoriti 1,085 undi).

N4. Lendu

Abdul Hakim Abdul Wahid (BN)
Nazri Ramli (Bersatu)

Pemenang PRN 2021: Sulaiman Ali (BN) – 4,486 undi (majoriti 3,104 undi).

N5. Taboh Naning

Zulkiflee Zin (BN)
Junainah Sahat (PH)

Pemenang PRN 2021: Zulkiflee Zin (BN) – 3,170 undi (majoriti 1,825 undi).

N6. Rembia

Ahmad Norazril Aziz (BN)
Khuzairie Kamal Kannan (PH)
Aman Akil Abdul Talib (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Jailani Khamis (BN) – 4,224 undi (majoriti 860 undi).

N7. Gadek

S Nadarajah (BN)
Jegasilan K (PH)
B Laveen (Bersama)
Laila Norinda Maon (Putra)

Pemenang PRN 2021: VP Shanmugam (BN) – 3,022 undi (majoriti 559 undi).

N8. Machap Jaya

Ngwe Hee Sem (BN)
Ginie Lim (PH)
B Prasanth Kumar (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Ngwe Hee Sem (BN) – 3,732 undi (majoriti 938 undi).

N9. Durian Tunggal

Mustafa Musa (BN)
Ashraf Mukhlis Minghat (PH)

Pemenang PRN 2021: Zahari Abdul Khalil (BN) – 3,663 undi (majoriti 559 undi).

N10. Asahan

Fairul Nizam Roslan (BN)
P Denesh (PH)

Pemenang PRN 2021: Fairul Nizam Roslan (BN) – 5,659 undi (majoriti 2,993 undi).

N11. Sungai Udang

Rais Yasin (BN)
Abdullah Mahadi (Bersatu)
Ridzuan Abdul Rahman (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Dr Aleef Yusof (PN) – 6,789 undi (majoriti 530 undi).

N12. Pantai Kundor

Tuminah Kadi (BN)
Asmah Samat (Bersatu)

Pemenang PRN 2021: Tuminah Kadi (BN) – 3,960 undi (majoriti 827 undi).

N13. Paya Rumput

Azman Abidin (PH)
Rafie Ahmad (PN)
Abdul Rashid Abu Bakar (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Rais Yasin (BN) – 6,830 undi (majoriti 629 undi).

N14. Kelebang

Lim Ban Hong (BN)
Farzana Hayani Nasir (PH)
Ali Mohamad (Bersatu)
Young Jie Yu (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Lim Ban Hong (BN) – 5,028 undi (majoriti 876 undi).

N15. Pengkalan Batu

Siti Aisyah Mahmood (BN)
Jason Tze-Xi Nathan (PH)
Norhizam Hassan Baktee (Bersatu)
Goh Han Koon (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Kalsom Nordin (BN) – 4,839 undi (majoriti 131 undi).

N16. Ayer Keroh

Kerk Chee Yee (PH)
Michael Gan (PN)
Hamnaim Mohamad (Bersatu)
Muhaimin Lau Abdullah (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Kerk Chee Yee (PH) – 9,459 undi (majoriti 5,624 undi).

N17. Bukit Katil

Adly Zahari (PH)
Ridzuan Sarif (PN)
Aliza Che Amran (Bersama)
Abu Bakar Sabudin (Bebas)

Pemenang PRN 2021: Adly Zahari (PH) – 6,805 undi (majoriti 1,057 undi).

N18. Ayer Molek

Ridhwan Ali (BN)
Hakimin Mokhtar (PH)

Pemenang PRN 2021: Rahmad Mariman (BN) – 6,348 undi (majoriti 2,802 undi).

N19. Kesidang

Allex Seah (PH)
Albert Kok (PN)
Dr Bryan Kek (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Allex Seah (PH) – 14,769 undi (majoriti 10,237 undi).

N20. Kota Laksamana

Melvin Chua (BN)
Low Chee Leong (PH)
Ethan Lim (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Low Chee Leong (PH) – 13,508 undi (majoriti 11,494 undi).

N21. Duyong

Noor Helmy Abdul Halem (BN)
Poo Long Suan (PH)

Pemenang PRN 2021: Noor Helmy Abdul Halem (BN) – 4,684 undi (majoriti 200 undi).

N22. Bandar Hilir

Jasmine Lok (BN)
Leng Chau Yen (PH)
Nor Rashidi Ab Jalil (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Leng Chau Yen (PH) – 9,091 undi (majoriti 7,778 undi).

N23. Telok Mas

Abdul Razak Abdul Rahman (BN)
Mohamad Jaafar (PH)
Hazwan Mustafa (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Abdul Razak Abdul Rahman (BN) – 6,052 undi (majoriti 2,076 undi).

N24. Bemban

Dr Yadzil Yaakub (PN)
Rabaie Ab Hamid (Bersatu)
Dr Solehin Saleh (Bersama)
Abd Halim Said (Bebas)

Pemenang PRN 2021: Dr Yadzil Yaakub (PN) – 4,211 undi (majoriti 328 undi).

N25. Rim

Khaidiriah Abu Zahar (BN)
Esma Eazreen Husin (PH)

Pemenang PRN 2021: Khaidiriah Abu Zahar (BN) – 4,037 undi (majoriti 1,327 undi).

N26. Serkam

Azman Abdullah (BN)
Faiq Azman (PH)
Saffie Yasan (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Zaidi Attan (BN) – 5,038 undi (majoriti 79 undi).

N27. Merlimau

Dr Akmal Saleh (BN)
Rahayu Hamzah (PH)

Pemenang PRN 2021: Dr Akmal Saleh (BN) – 5,633 undi (majoriti 3,248 undi).

N28. Sungai Rambai

Jezlee Pit (BN)
Aminuddin Abdul Jalil (PH)
Norrizan Jantan (Bebas)

Pemenang PRN 2021: Siti Faizah Abdul Aziz (BN) – 3,801 undi (majoriti 1,137 undi).

Wanita lumpuh ditembak pada 1997 dianugerah RM350,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas pendandan rambut yang lumpuh akibat insiden tembakan melibatkan isteri seorang pegawai kanan polis 29 tahun lalu dianugerahkan RM350,000 dalam penghakiman persetujuan direkodkan Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Pesuruhjaya Kehakiman Budiman Lutfi Mohamed turut membatalkan penghakiman persetujuan dimeterai pada 2007 dalam saman terdahulu melibatkan plaintif dan pasangan tersebut.

“Penyelesaian ini dicapai tanpa sebarang pengakuan liabiliti oleh mana-mana pihak dalam perkara ini.

“Perjanjian (2007) melalui penghakiman persetujuan ketika itu dengan ini dibatalkan berkuat kuasa serta-merta dan tanpa kebebasan untuk mana-mana pihak memfailkan semula,” katanya pada Rabu.

Firma guaman yang menguruskan penyelesaian 2007 tersebut, yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman itu, bersetuju membayar RM10,000 sebagai kos perundangan kepada plaintif yang berusia 58 tahun.

Peguam plaintif, M Manoharan, berkata penghakiman persetujuan 2007 menghendaki pasangan itu membayar RM500 sebulan kepada anak guamnya. Katanya, jumlah RM114,000 telah dibayar di bawah pengaturan tersebut.

Dalam dokumen mahkamah dilihat FMT, plaintif mendakwa dia lumpuh dari paras pinggang ke bawah selepas satu das tembakan dilepaskan ketika berlaku pertengkaran, di sebuah apartmen di Johor Bahru pada 28 Dis 1997.

Pada 2019, plaintif memohon peningkatan jumlah pembayaran bulanan daripada pasangan berkenaan kerana menganggap jumlah itu tidak mencukupi, mengambil kira kos perubatan yang kian meningkat, namun permohonannya ditolak.

Dia memfailkan semula saman dua tahun kemudian bagi menuntut ganti rugi RM2.8 juta.

Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada mulanya membatalkan saman terbabit.

Namun, Mahkamah Rayuan mengembalikan semula saman itu pada 2024 dan memerintahkan kes tersebut diteruskan ke peringkat perbicaraan.

FMT tidak mendedahkan identiti semua pihak yang terlibat.

Plaintif diwakili M Manoharan dan M Hariharan, manakala G Ravi dan Aida Hassan bertindak bagi pihak defendan. S Gunasegaran mewakili firma guaman berkenaan.

Nik Abduh dibalun netizen

‘Harap asah pedangnya tak lama’, Nik Abduh gembira makan bersama Eric See-To
Harapandaily

Senator Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkongsi gambar pertemuannya dengan bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi berhubung penggunaan kalimah al-Quran.

Menerusi hantaran di Facebook, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas dan Bachok itu dilihat tersenyum ketika menikmati hidangan bersama Eric di sebuah restoran.

“Gembira bersama Dato Eric hari ini. Harap saya, asah pedangnya tak lama,” tulis Nik Abduh ringkas menerusi hantaran berkenaan.

Bagaimanapun, ungkapan mengenai ‘asah pedang’ itu mengundang pelbagai tafsiran dan sindiran dalam kalangan pengguna media sosial, termasuk mereka yang mempersoalkan hubungan rapat kedua-duanya.

Pengguna Facebook, Mohd Noh Hakim menyindir, “Demi sesuap nasi apa saja ditunggang,” manakala Rendy Ismail pula menulis, “Mengaji dari Eric rupanya…”

Tidak kurang juga yang mengaitkan pertemuan itu dengan pendirian Nik Abduh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Lebih menghormati Eric dari PMX,” sindir Nasrullah Mohamed Gani.

Sementara itu, Daniel Taboh Nyala secara sinis menyifatkan pertemuan itu sebagai “Sifu bersama anak muridnya”, sementara Wan Omar mempersoalkan, “Pedang apa pulak ni. Pelik-pelik ustaz jadian zaman sekarang.”

‘Air mani terbuang’

Malah, ada netizen yang kembali mengungkit ungkapan kontroversi “air mani terbuang” yang pernah digunakan Nik Abduh dalam tulisannya pada 2018 ketika berlaku perbezaan pendirian politik dengan abang kandungnya, Nik Omar Nik Abdul Aziz.

“Baru tahu siapa air mani yang terbuang,” sindir pengguna dikenali sebagai Nik Ahmad Gomo, manakala Abu Mukhlis turut mengaitkan pertemuan itu dengan ungkapan berkenaan.

Muhamad Ibrahim pula membandingkan perwatakan Nik Abduh dengan Nik Omar yang menurutnya lebih lemah lembut, merendah diri dan menggunakan bahasa yang baik meskipun mempunyai pendirian politik berbeza.

Untuk rekod, Nik Abduh pernah menulis ungkapan “Siapa kita tanpa bonda? Sekadar air mani terbuang hina” ketika mengulas keputusan Nik Omar bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pertemuan Nik Abduh dengan Eric kali ini turut menarik perhatian kerana beliau sebelum ini secara terbuka mempertahankan bekas pegawai komunikasi BN tersebut susulan kontroversi perkataan ‘lighad’ yang digunakan Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu.

Eric ketika itu dikecam selepas mengaitkan perkataan ‘lighad’ dengan ‘liwat’ dalam ulasan politiknya, sehingga mengundang bantahan pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Nik Abduh kemudiannya tampil mempertahankan Eric dengan menyifatkan kontroversi berkenaan sebagai salah faham yang tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghukum seseorang tanpa memahami niat sebenar.

“Semua orang tahu dia nak bergurau, sindiran politik. Tanpa dia sedar, itulah yang perlu kita pegang bahawa dia tidak berniat langsung menghina.

“Jadi, kita jangan menzalimi dia,” katanya dalam satu rakaman audio siar yang dilaporkan media pada 13 Oktober lalu.

Tular lelaki patah kaki dilanggar, kes disiasat cuba membunuh

FMT Reporters

Polis berkata kejadian disyaki berpunca perselisihan faham akibat wang.
Tular sejak semalam video seorang lelaki yang patah kaki dilanggar sebuah kereta. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Kejadian tular sebuah kereta melanggar seorang lelaki yang patah kaki dipercayai berlaku disebabkan isu pinjaman, kata polis.

Ketua Polis Iskandar Puteri Ramlan Radin Taha, berkata perselisihan faham antara dua pihak saling mengenali itu menjurus pergaduhan fizikal dengan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

Katanya, tiga individu terdiri seorang lelaki dan dua wanita berusia 34 hingga 53 tahun ditahan selepas laporan dibuat semalam dalam kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Taman Pulai Utama, Skudai.

“Seorang lelaki berusia 35 tahun mengalami patah kaki kanan susulan insiden melibatkan sebuah kereta yang dipandu seorang individu terlibat.

“Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat.

Saringan air kencing terhadap tiga suspek berkenaan mendapati negatif dadah dengan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Ramlan berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.