FMT Reporters
PETALING JAYA: Bekas pendandan rambut yang lumpuh akibat insiden tembakan melibatkan isteri seorang pegawai kanan polis 29 tahun lalu dianugerahkan RM350,000 dalam penghakiman persetujuan direkodkan Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Pesuruhjaya Kehakiman Budiman Lutfi Mohamed turut membatalkan penghakiman persetujuan dimeterai pada 2007 dalam saman terdahulu melibatkan plaintif dan pasangan tersebut.
“Penyelesaian ini dicapai tanpa sebarang pengakuan liabiliti oleh mana-mana pihak dalam perkara ini.
“Perjanjian (2007) melalui penghakiman persetujuan ketika itu dengan ini dibatalkan berkuat kuasa serta-merta dan tanpa kebebasan untuk mana-mana pihak memfailkan semula,” katanya pada Rabu.
Firma guaman yang menguruskan penyelesaian 2007 tersebut, yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman itu, bersetuju membayar RM10,000 sebagai kos perundangan kepada plaintif yang berusia 58 tahun.
Peguam plaintif, M Manoharan, berkata penghakiman persetujuan 2007 menghendaki pasangan itu membayar RM500 sebulan kepada anak guamnya. Katanya, jumlah RM114,000 telah dibayar di bawah pengaturan tersebut.
Dalam dokumen mahkamah dilihat FMT, plaintif mendakwa dia lumpuh dari paras pinggang ke bawah selepas satu das tembakan dilepaskan ketika berlaku pertengkaran, di sebuah apartmen di Johor Bahru pada 28 Dis 1997.
Pada 2019, plaintif memohon peningkatan jumlah pembayaran bulanan daripada pasangan berkenaan kerana menganggap jumlah itu tidak mencukupi, mengambil kira kos perubatan yang kian meningkat, namun permohonannya ditolak.
Dia memfailkan semula saman dua tahun kemudian bagi menuntut ganti rugi RM2.8 juta.
Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada mulanya membatalkan saman terbabit.
Namun, Mahkamah Rayuan mengembalikan semula saman itu pada 2024 dan memerintahkan kes tersebut diteruskan ke peringkat perbicaraan.
FMT tidak mendedahkan identiti semua pihak yang terlibat.
Plaintif diwakili M Manoharan dan M Hariharan, manakala G Ravi dan Aida Hassan bertindak bagi pihak defendan. S Gunasegaran mewakili firma guaman berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan