"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

14 cedera, kapal terbakar kena tembakan meriam tidak sengaja

BERNAMA
Tembakan artileri tentera laut terkena bahagian belakang HTMS Khirirat FOTO Agensi
Tembakan artileri tentera laut terkena bahagian belakang HTMS Khirirat FOTO Agensi
Bangkok: Seramai 14 anggota Tentera Laut Diraja Thailand mengalami kecederaan apabila tembakan meriam dari kapal tentera laut, HTMS Chonburi mengenai bahagian belakang kapal HTMS Khirirat di Pangkalan Tentera Laut Sattahip di Chon Buri.

Jurucakap Tentera Laut Diraja Thailand, Laksamana Muda Wirudom Muangjeen berkata dalam kejadian kira-kira tengah hari Khamis, tembakan artileri tentera laut itu dilepaskan dari artileri depan HTMS Chonburi terkena bahagian belakang HTMS Khirirat, sebuah frigat, yang berlabuh di Jeti Laem Thian.

Pasukan bomba bertindak memadamkan kebakaran di atas kapal berkenaan.

Semua mangsa dikejarkan ke hospital di Sattahip dan ramai kru yang terhidu asap.

HTMS Chonburi kembali ke pangkalan pada Rabu selepas mengalami pincang tugas semasa latihan menembak yang menyaksikan peluru tertinggal di dalam laras meriam.

Tembakan itu dilaporkan berlaku semasa pembaikan.

Amanah hadapi 17 tuduhan cabul, mencederakan rekrut

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
TERTUDUH (dua dari kanan) didakwa terhadap 17 pertuduhan mencabul dan mencederakan seorang rekrut di Kem Terendak, tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
TERTUDUH (dua dari kanan) didakwa terhadap 17 pertuduhan mencabul dan mencederakan seorang rekrut di Kem Terendak, tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Melaka: Bekas tentera didakwa atas 17 pertuduhan termasuk 15 kesalahan mencabul rekrut lelaki di Kem Terendak, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Amanah Habhijullah, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga 15, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang prebet berusia 20 tahun.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kem Terendak, Sungai Udang di sini, pada tarikh dan masa berbeza antara 12 tengah malam 25 Ogos 2023 hingga 6 pagi, 14 Oktober 2023.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-16 dan 17, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama di tempat sama pada 2 pagi, 15 Oktober 2023 dan pada 3 petang, 16 Oktober 2023.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 323 KK yang jika disabitkan boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin menawarkan jaminan RM134,000 bagi semua pertuduhan, namun Peguam S Daniel merayu jaminan rendah, mengambil kira anak guamnya dalam proses pemberhentian kerja dan menggunakan wang simpanan untuk meneruskan kehidupan.

Selain itu, tertuduh juga perlu menanggung ibu bapa yang uzur dan memberi kerjasama penuh kepada polis sepanjang siasatan kes.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin bermastautin di Melaka.

Selain itu tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa. Kes disebut semula 30 April depan.

Dua lelaki terlebih berani pecah masuk rumah polis

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
RUMAH anggota polis dipecah masuk penjenayah. FOTO Ihsan Polis
RUMAH anggota polis dipecah masuk penjenayah. FOTO Ihsan Polis
Subang Jaya: Polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai memecah masuk rumah seorang anggota polis di SS15/7, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada anggota polis lelaki berusia 35 tahun berhubung kejadian itu 12.14 tengah hari, semalam.

"Rumah mangsa dipecah masuk dua lelaki bersenjatakan perengkuh paip. Kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian RM15,000.

"Siasatan awal mendapati rumah mangsa dipecah masuk 11.50 pagi. Ketika kejadian, hanya seorang penghuni wanita di kediaman itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, berdasarkan penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an di Kampung Baru di Rawang, 6.30 petang, semalam.

"Hasil tangkapan itu, kami menemukan beberapa barangan dipercayai milik penghuni rumah berkenaan.

"Semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek mempunyai masing-masing 18 dan tujuh rekod jenayah serta dadah," katanya.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dibuat hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Kami sedang mengesan seorang lagi suspek lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Afiq Safullah Azid di talian 014-5378217 atau Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100," katanya.