Safeek Affendy Razali
safeek@bh.com.my
Gombak: Bayi lelaki ditemukan masih hidup di dalam kotak yang ditinggalkan di bawah tangga sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Jalan Puri Kepong di sini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu pada jam 9.14 pagi semalam.
"Laporan dibuat seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 35 tahun yang menemui bayi berkenaan.
"Bayi lelaki itu dipercayai ditinggalkan oleh individu tidak bertanggungjawab yang belum dikenal pasti," katanya kepada media hari ini.
Menurutnya, ketika ini bayi itu dalam keadaan sihat dan ditempatkan di hospital untuk pemantauan lanjut.
"Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Mohammad Hisham Mohd Rahman@Amir Hamzah di talian 010-947 5532 bagi membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan