"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perkahwinan dengan kanak-kanak tidak ikut sunah

KUALA LUMPUR, 12 Mac: Perkahwinan kanak-kanak perempuan 11 tahun dengan lelaki berusia 40-an yang berlaku di Kelantan adalah tidak mengikut sunah sebaliknya berdasarkan nafsu semata-mata, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata enakman Majlis Agama Islam di Malaysia jelas menunjukkan lelaki boleh berkahwin apabila berumur 18 tahun ke atas manakala perempuan pula berusia 16 tahun ke atas.

“Bayangkan bagaimana budak perempuan berusia 11 tahun dikahwinkan dengan seorang lelaki yang berusia 40 tahun lebih, dia menggunakan kalimah iaitu sunah tetapi kita tengok sunah itu pun tidak dilaksanakan... hanya mengikut nafsu sendiri,” kata beliau dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program mencari Imam Muda Astro Oasis dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini.

Baru-baru ini dilaporkan seorang kanak-kanak dari Dabong telah dinikahkan dengan ‘nikah isyarat’ tanpa kehadirannya di madrasah berhampiran Masjid Besar Machang.

Difahamkan ayahnya merestui perkahwinan kanak-kanak itu selepas diperdaya lelaki terbabit kononnya perbuatan itu mengikut sunah.

Kes itu adalah kejadian kedua membabitkan pernikahan budak perempuan di bawah umur di negeri itu, selepas seorang budak berusia 10 tahun dikahwinkan dengan lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas.

Mengenai program mencari Imam Muda Astro Oasis dan Jawi itu, Jamil Khir berkata ia dapat membentuk generasi muda ke arah perilaku yang baik dan berakhlak.

-Bernama-

Tiada ulasan: