"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terkini: Akhirnya Abby Abadi serah borang menyertai PAS (Gambar)

KOTA BHARU: Selepas menekuni semula amalan agama dan bersedia sepenuhnya menerima segala risiko, akhirnya pelakon Abby Abadi secara rasminya malam tadi menyertai PAS sebagai ahli seumur hidup.
Beliau menyerah borang sebagai pendokong berdaftar gerakan Islam kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Nilam Puri.

Biar pun dalam keadaan keuzuran dan kepenatan, namun Menteri Besar Kelantan mengagahi juga hadir pada program tersebut yang diadakan di padang Yayasan Islam Kelantan, berhadapan dengan kampus Akademi Islam Universiti Malaya.

Kedatangannya agak lewat, semata-mata bagi memenuhi impian dan hasrat pelakon terbabit yang kebelakangan ini muncul dengan penampilan baru.

Bersaksikan ribuan penduduk tempatan, Abby bersama seorang lagi pelakon Hairie Othman diserbu ramai peminat remaja untuk bergambar dan beramah mesra.

Selepas menyerah borang yang dirakam dengan puluhan lensa kamera, Abby kemudian dipakai selendang berwarna hijau oleh anggota Exco kerajaan negeri, Wan Ubaidah Omar. Hadir sama Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan.

“Biar pun saya bersama dengan gerakan memperjuangkan Islam dan keadilan, namun saya masih sayang lagi kepada dunia seni.

“Sebagai orang seni saya tidak pandai untuk mencari rezeki dengan bidang lain. Oleh itu saya berharap selepas ada perubahan di Putrajaya nanti, kita boleh lakukan sesuatu bagi memartabatkan seni mengikut acuan Islam,” ujarnya.

Hujah itu sebelumnya turut dikongsi bersama Hairie apabila mencadangkan kepada PAS supaya membikin drama berkaitan perjuangan Islam bagi membolehkan generasi muda tahu asal usul sejarahnya.

Menurutnya elok diterbitkan filem mengisah mengenai kegigihan tokoh terkenal dalam gerakan Islam di Malaya iaitu Dr Burhanuddin Helmy yang begitu banyak berjasa.

“Kalau PAS berminat untuk menerbit filem tersebut eloklah watak utama diberi kepada saya,” katanya dengan nada berseloroh.

Tiada ulasan: