"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ulama jadi jurucakap Chua Soi Lek

Subky Latif
SEKUMPULAN ulama yang makan gaji dengan Barisan Nasional telah datang kepada Dr. Chua Soi Lek bagi menyampaikan dakwah khsusnya mengenai hudud.

Ia satu pendekatan yang baik. Kalau gunung tidak datang kepada Muhammad, maka Muhammad mesti pergi ke gunung. Dan itulah yang Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. yang diperintah Allah, pergilah kepada Firaun, sampaikan dakwah kepadanya dan seru dia supaya menyembah Allah.

Rombongan ulama itu wajar dipuji dan teruskan dan ia boleh dicontohi. Mungkin inilah kelayakan untuk menjadi calon Pengarah Yadim.

Tetapi jangan terhenti setakat mendatangi Soi Lek saja justeru adanya serangan berani Soi Lek terhadap hudud.

Saya tidak suruh rombongan ulama itu mendatangi Karpal Singh kerana jadi momokan bagi UMNO kerana Karpal pernah berkata, langkah mayatnya sebelum perkara seperiti hudud itu hendak dilaksanakan. Itulah UMNO tidak pernah lupa. Ketika isu Karpal itu mulai reda, Soi Lek pula menghidupkannya semula. Dan serangan Soi Lek tidaklah lebih lunak dari Karpal.

Sayugialah pergi jumpa Karpal menerangkan apa yang diterang kepada Soi Lek, moga-moga Karpal dapat memahami seperti Soi Lek dikatakan sudah memahaminya.

Bahkan mereka patut jumpa siapa saja yang keliru tentang hudud. Jika boleh datangi Dr. Mahathir supaya dia juga akan faham seperti Soi Lek.

Orang lain tidak tahu reaksi Soi Lek sebenarnya. Semua tahu Soi Lek dikatakan tidak menghina Islam dari ulama yang menemuinya.

Berdakwah kepada si Soi Lek itu satu kerja mulia, menjadi jurucakap Soi Lek bukanlah kerja ulama.

Bila Soi Lek melantik mereka jadi jurucakapnya? Dan jangan sampai orang melihat ulama jadi jurucakap kepada Soi Lek dan MCA. Sudah cukuplah jadi jurucakap tidak rasmi kepada PWTC, janganlah sampai dilihat jadi satu dari cabang lidah Soi Lek. Itu bukan kerja ulama.

Mengikut apa yang ulama itu kata, Soi Lek tidak menentang hudud sebagai satu hukum Islam setelah mendengar penjelasan. Yang ditentangnya sekarang tinggal apa yang dikatakan ‘hudud PAS.’

Atau apa yang ketua MCA itu tentang sebelum didatangi oleh ulama itu adalah hudud PAS juga. Cuma orang Islam kebanyakannya mengira mana ada hudud PAS dan hudud UMNO. Yang kata hudud yang Kelantan dan Terengganu lulus itu hudud PAS adalah Dr. Mahathir dan sekalian pencarum kepada fikirannya.

Selepas pertemuan Soi Lek itu, seperti yang rombongan ulama itu faham, Soi Lek sudah bersih dari menghina Islam kerana yang mereka tolak adalah hudud PAS. Soi Lekdengan ini sudah sama dengan pendirian UMNO dan kumpulan ulama itu juga setuju dengan Soi Lek yang ditolak dan mesti ditolak ia hudud PAS.

Yang belum jelas pada ulama itu betulkah yang Soi Lek tentang itu hudud PAS saja?

Jika kita teliti ucapan ADUN BN Johor yang mencadangkan kepada DUN Johor supaya tiba masanya kerajaan melaksanakan hudud, ADUN itu juga telah menyebutkan tentang beza hudud sebenar dengan hudud PAS. ADUN itu jelaskan yang dicadangkan supaya dilaksanakan ialah hudud yang disarankan oleh al-Quran.

Apa kata Soi Lek tentang ADUN yanag mencadangkan pelaksaan hudud ialah ia satu cadangan yang sudah hilang akal. Jika BN bersetuju melaksanakannya ia bereti BN sudah hillang akal.

Serangan Soi Lek yang awal bukan sekadar hudud PAS tetapi adalah hudud yang Allah dan NabiNya syariatkan. Ia dikira hilang akal.

Sebagai jurucakap Soi Lek hal ini belum dijelaskan. Soi Lek sendiri mesti menjelaskannya. Bukan jurucakapnya.

Tiada ulasan: