"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

“Jari saya ‘jammed’ doktor!” – Dr. Ahmad Mahyuddin

Tranungkite
Pernahkah jari anda tiba-tiba menjadi ‘jammed’ atau tidak boleh diluruskan semula setelah anda membuat genggaman?

Anda mungkin mempunyai masalah yang dikenali sebagai ‘Trigger Finger’. Ia seolah-olah jari anda bersedia untuk memetik picu senapang atau pistol bukan? Biasanya pesakit boleh membengkokkan jari mereka ketika menggenggam tangan, namun apabila mereka membuka genggaman, jari yang bermasalah ini ‘jammed’ atau tersekat dan gagal diluruskan.

Punca masalah ini terjadi masih belum diketahui sepenuhnya. Namun, kajian menunjukkan proses keradangan (inflammation) pada lapisan luar urat jari atau tendon (flexor tendon pulley) yang menyebabkan ia menebal dan seterusnya menyempitkan laluan tendon tersebut ketika berlaku pergerakan.

Masalah ini lebih kerap berlaku di kalangan pesakit wanita yang berusia antara 40 hingga 60 tahun. Pesakit kencing manis turut mempunyai risiko yang lebih tinggi bagi mendapat masalah ini. Saya juga kerap mendengar rintihan permasalahan di atas berlaku pada pesakit-pesakit yang pekerjaan mereka melibatkan penggunaan tangan yang kerap seperti menjahit dan menaip. Ia biasanya berlaku pada tangan dominan mereka.

Pesakit biasanya datang dengan rasa sakit pada bahagian hujung tapak tangan. Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, masalah ini akan berlarutan sehingga menyebabkan jari menjadi ‘lekat’ atau ‘jammed’. Pada peringkat awal, pesakit mungkin masih boleh meluruskan jari tersebut dengan menggunakan tangan beliau yang sebelah lagi, namun pada peringkat yang teruk, jari ini tidak akan dapat diluruskan langsung.
Sumber: www.msdlatinamerica.com
Sumber: www.msdlatinamerica.com

Rawatan bagi ‘Trigger Finger’ bergantung kepada keadaan pesakit ketika mendapatkan rawatan. Sekiranya pesakit datang awal, ia boleh dirawat secara konservatif, iaitu tanpa pembedahan dan hanya memadai dengan rawatan fisioterapi dan ubat anti-radang. Suntikan steroid kadang-kala berguna bagi merawat pesakit yang gagal dirawat dengan fisioterapi.

Sekiranya jari pesakit telah pun ‘jammed’ dan tidak dapat diluruskan, maka pembedahan perlu dilakukan. Setelah ubat bius setempat diberikan, satu torehan kecil sepanjang 1sm akan dibuat pada tapak tangan pesakit bagi memotong ‘A1 pulley’ (rujuk gambar) yang sempit. Dengan cara ini, tendon akan kembali bebas berfungsi.

Sekiranya anda mempunyai masalah ini, sila dapatkan rawatan segera di hospital berhampiran.

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan:

Tiada ulasan: