"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Padah buat hantaran jelik terhadap Tuanku Muhriz, dua diheret ke mahkamah, seorang dah hilang kerja

Harapandaily
Gara-gara membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di media sosial, dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Kedua-dua tertuduh, Abdullah Aidid Mochtar @ Ahmad Duta, 44, dan Ashadi Zul’izzi Zainal Abidin, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad.

Abdullah Aidid yang menggunakan akaun TikTok untuk membuat hantaran berkenaan merayu supaya mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah kerana kini tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Menurutnya, dia telah dibuang kerja sejak tiga bulan lalu susulan kes tersebut dan terpaksa bergantung kepada kerja sambilan di bengkel milik rakannya untuk meneruskan kehidupan.

“Buat masa ini, saya tiada pendapatan tetap dan hanya mengambil upah bekerja di bengkel rakan jika diperlukan,” katanya ketika mengemukakan rayuan di hadapan hakim.

Pendapatan tidak menentu

Sementara itu, Ashadi Zul’izzi yang bekerja sebagai pereka grafik sambilan turut memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan kerana pendapatannya tidak menentu.

“Pendapatan saya bergantung kepada tempahan pelanggan. Saya mohon jumlah jaminan rendah,” katanya, dipetik BH.

Mengikut pertuduhan, Abdullah Aidid didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran bersifat jelik melampau terhadap Tuanku Muhriz menggunakan akaun TikTok bernama “rookiebenz_albenzauto”.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat untuk menyakitkan hati mana-mana orang pada jam 11.27 malam, 1 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan berasingan, Ashadi Zul’izzi pula didakwa melakukan kesalahan sama menerusi akaun Threads “@razakahmad725” pada jam 2.39 petang, 4 Ogos lalu.

Kedua-dua hantaran berkenaan kemudian dilihat oleh pengadu di Jalan Dutamas Seroja 5, Taman Segambut, masing-masing pada 4 dan 5 Ogos lalu.

Susulan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, kedua-duanya berdepan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Peruntukan tersebut juga membolehkan denda tambahan sehingga RM5,000 dikenakan bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, pegawai pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nazrul Nizam Mohd Zameri menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, selepas mendengar rayuan kedua-dua lelaki yang tidak diwakili peguam, mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM12,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 1 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan penyerahan dokumen.

Tiada ulasan: