"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pilihan Raya Sarawak Menang Tapi Kosong Bagi Najib

Shahbudin Husin
Walaupun Najib Razak berkampung hampir dua minggu di Sarawak, mengerahkan menteri-menteri turun ke negeri itu dengan mengadakan mesyuarat kabinet di sana dan pelbagai peruntukan pembangunan dicurahkan, tetapi selepas menang 72 daripada 82 kerusi, semua orang mengatakan kemenangan BN adalah disebabkan oleh kepimpinan Ketua Menterinya, Adenan Satem.

Beliau bukan saja sosok baru yang diterima baik oleh rakyat Sarawak, malah boleh dikata belum terpalit dengan apa-apa skandal setakat ini. Imejnya yang bersih itu disertakan dengan laungan "Sarawak for Sarawakians" menyebabkan sokongan kepada kepimpinannya mudah diterjemahkan dengan undi.
Dalam pilihanraya Sarawak kali ini juga tiada poster Najib dibenarkan dipasang di mana-mana, yang ada hanya gambar Adenan dan lain-lain pemimpin peringkat negeri. Tidak mustahil jika ada gambar Najib di mana-mana, jumlah kemenangan itu mungkin kurang daripada 72.

Adenan dengan tegas mengatakan beliau akan meletakkan jawatan jika UMNO dibenarkan masuk ke negeri itu. Ia jelas merupakan "tamparan ke muka" Najib dan semua pemimpin UMNO yang hadir berkempen di Sarawak.

Dengan tiada gambar Najib dan menolak keras kehadiran UMNO, Adenan tidak lain memberi isyarat kepada pengundi Sarawak bahawa pemimpin-pemimpin Semenanjung hanyalah alat dan untuk dipergunakannya saja dalam pilihanraya kali ini.

Slogan kempen yang digunakan pula "Beri Peluang Kepada Team Adenan" yang jelas bukan untuk sesiapa berkongsi saham kemenangan dengannya.

Lantaran itu tidak ada sesiapa, termasuk Salleh Said Keruak dan Abdul Rahman Rahman, yang berani mengatakan kemenangan cemerlang BN kali ini disebabkan faktor Najib.

Ditambah dengan ia turut disaluti duka berikutan tragedi helikopter terhempas yang menyebabkan enam penumbangnya terbunuh, kejayaan BN kali jelas kosong maknanya kepada Najib.

Tidak ada apa-apa yang dapat dibawa Najib daripada kemenangan di Sarawak itu untuk mengukuhkan lagi kedudukannya di Semenanjung. Najib secara relatifnya tetap tenat di Semenajung berikutan isu 1MDB dan derma bilion-bilion ringgit yang diterimanya serta asakan berterusan daripada Tun Mahathir Mohamad terhadapnya.

Sokongan pengundi Cina dan bandar di Sarawak kepada BN yang menyebabkan DAP kali ini hanya mampu menang 7 kerusi berbanding 12 pada pilihanraya 2011 juga tidak terpakai untuk orang Cina di Semenanjung.

Di Sarawak, keyakinan itu selain kerana Adenan, turut disebabkan oleh SUPP, parti Cina di negeri.

Adakah pengundi Cina di Semenanjung sedia berubah selagi ada Najib atau mampukah MCA dan Gerakan memainkan peranan seperti SUPP?

Dengan awal-awal semua orang mengatakan kemenangan di Sarawak kerana faktor Adenan, Najib dan pemimpin-pemimpin UMNO bukan saja terasa malu untuk menumpang kejayaan itu, bahkan akan terus bergelut dengan ketidakyakinan dan kehilangan kepercayaan daripada rakyat.

Tiada ulasan: