"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ustaz Ini Dikatakan Menghina Sunnah Dan Mazhab Maliki?

[Ustaz Hina Sunnah Dan Mazhab Maliki?]



Ada sahabat berikan saya klip video ini. Dikatakan beliau adalah AJK Tauliah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Saya tidak kenal beliau siapa. Saya gagahkan juga mendengar apabila sahabat-sahabat meminta saya memberikan komentar terhadap video ini.

Sesudah saya mendengar video ini saya beristighfar panjang. Bagaimana boleh AJK Tauliah JAIS boleh bercakap seperti ini? Apa yang saya fahami beliau ingin menyebutkan 3 tanda sesat iaitu: angkat takbir separas bahu, letakkan dua tangan atas dada waktu solat dan gerakkan jari telunjuk.

Izinkan saya bertanya, adakah ustaz ini maksudkan sekadar buat 3 perkara ini boleh jadi sesat? Atau buat 3 perkara ini merupakan tanda pelakunya sesat? Saya katakan tidak sama sekali.

Berikut jawapan saya:

1. Berkaitan dengan mengangkat takbir selari dengan bahu. IA SUNNAH YANG SAHIH. Imam Bukhari meriwayatkan dari jalur Ibn Umar katanya: Nabi sallallah alaih wasallam MENGANGKAT TANGANNYA SELARI DENGAN BAHUNYA apabila memulakan solat...(no. Hadis: 702)

Benar di sana ada beberapa riwayat sahih berkaitan paras tangan ketika mengangkat takbiratul ihram. Ini salah satunya. Selain itu mengangkat tangan separas telinga. Keduanya sahih.

2. Sememangnya terdapat hadis dari Wa'il bin Hujr yang menyatakan Nabi sallallah alaih wasallam meletakkan tangan di atas dadanya. Tetapi tambahan lafaz "atas dada" itu tidak sahih kerana ia datang dari perawi bernama Muammal. Beliau tidak begitu kukuh ingatannya. Maka lafaz ini daif pada saya. Ibn Qudamah menyatakan ada keluasan nak letak kedua tangan itu di mana pun.

Ulama hanbali seperti IBN QAYYIM yang dilabel wahabi oleh sebahagian pihak juga menyatakan ia makruh. Namun Ibn Qayyim tidak pula menyatakan ia petanda kesesatan pelakunya. Sejak bila buat perkara makruh jadi sesat? Jika tidak letak tangan langsung pun tidak sesat takkanlah letak atas dada jadi sesat? Jangan terlebih lajak dari laju!

3. Ustaz ini menghentam pula perbuatan mengerakkan jari ketika tasyahhud. Wahai ustaz, ia isu khilaf dalam Ahlussunnah wal Jamaah sejak dari zaman silam. Khilaf ini disebabkan lafaz gerakkan jari ini datang dalam riwayat hadis Zaidah bin Qudamah.

Saya cenderung untuk mengatakan ia lafaz yang daif. Maka gerakkan jari tidak sunnah pada pandangan saya. Namun untuk mengatakan ia pentanda sesat atau boleh menyesatkan saya menjadi keliru. Bukankah yang mensahihkan lafaz ini ulama hadis besar semisal Ibn Hibban? Yang paling penting MAZHAB MALIKI mengiktiraf amalan ini. Lihat apa yang disebutkan oleh Syeikh Soleh Abdul Sami' al-Azhari:

Ulama malikiah berbeza pendapat pada hukum menggerakkan telunjuk (waktu tasyahhud). Kata Ibn al-Qasim: gerakkannya. Inilah PANDANGAN YANG MUKTAMAD. Orang lain berkata: tidak gerakkan. Mengikut pendapat perlu menggerakkan jari, adakah perlu digerakkan sepanjang tasyahhud atau sewaktu syahadah sahaja? Terdapat dua pandangan...mengikut dua pandangan ini adakah gerakan itu ke kiri dan ke kanan atau ke atas dan ke bawah? Ada dua pandangan (dalam Mazhab Maliki) (Al-Thamar Al-Dani, jil. 1, hal. 128)

Maka gerakkan jari ke kanan dan kiri atau atas dan bawah terdapat dalam pandangan mazhab Maliki.

Benar mazhab syafie tidak setuju dengan gerakan begini tetapi perlu diingat mazhab syafie tidak pernah sesatkan pelakunya.

Jika benar tidak setuju pun tidak perlulah menyesatkan mazhab muktabar. Saya bimbang dengan manusia yang cepat menyesatkan ini. Bimbang ramai tidak dapat tauliah akibat disesatkan padahal diri sendiri yang tidak tahu banyak perkara.

Dr Rozaimi Ramle

Tiada ulasan: