"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno, PAS anggap rakyat mudah diperbodohkan

Raja Bahrin Shah
Tontonan sidang Parlimen pada 6 April lepas memperlihatkan bagaimana Parlimen yang mulia dipergunakan untuk sandiwara kononya pembentangan, perbahasan dan pengundian Rang Undang Undang 355 berkaitan dengan Islam yang mulia ini akan dilaksanakan.

Apa yang berlaku amat memalukan dan menghina agama Islam yang suci apabila untuk kali ke-3 perbahasan dan pengundian RUU 355 ditangguhkan. Yang paling anehnya apabiia untuk kali ke-3 ia ditangguhkan, seorang ahli Parlimen PAS pun tidak berdiri untuk membantah, tetapi ahli-ahli Pakatan Harapan yang membantah.

Kenapa membisu di Parlimen tetapi kalau di masjid dan surau kampung suara mereka begitu lantang melawan kerajaan kononnya?

Apa yang ditonton pada 6 April lepas adalah larutan sandiwara Umno bersama PAS berdasarkan lima sebab berikut.

Pertama, 2 kali RUU 355 telah dibentang pada hari terakhir sesi Parlimen iaitu pada awal dan akhir 2016 tanpa dibahas atau diundi. Selepas sesi tersebut gempak gempita PAS berceramah di kampung serta negeri bagaimana berjayanya mereka memujuk Umno ke arah melaksanakan undang-undang Syariah walaupun (bekas Menteri Besar Kelantan dan Musyidul Am PAS), Almarhum Nik Aziz Nik Mat telah berpesan jangan jatuh ke dalam lubang yang sama 2 kali.

Kedua, untuk kali ke-3 pada 6 April lepas, PAS diperdayakan lagi selepas RUU 355 dibaca oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disokong dengan ucapan setiausaha agungnya, dengan tiba-tiba sidang Parlimen ditangguhkan tanpa bahas atau undi.

Walaupun Almarhum Nik Aziz telah berpesan jangan jatuh dalam lubang yang sama 2 kali, PAS berjaya dengan cemerlang terjun ke dalam lubang yang sama untuk kali ke-3. Apa yang lebih menghairan dan mengejutkan lagi adalah apabila speaker menangguhkan sesi pada petang 6 April. Di Parlimen, PAS tidak pun membantah. Tugas ini dilakukan oleh ahli-ahli Pakatan Harapan sementara ahli-ahli Parlimen PAS nampak telah siap bersedia untuk drama sandiwara untuk kali ke-3 kerana sudah maklum skrip wayang yang ditulis oleh Umno.

Hairannya juga ahli-ahli Parlimen PAS yang mengeluarkan air mata semasa Presiden PAS membacakan teks RUU 355 tidak pula berilham mencurahkan air mata kesedihan atas penangguhan dan kecurangan kali ke-3 Umno. Kalau PAS bersungguh-sungguh hendak memperkasakan undang-undang Syariah kenapa mereka tidak sedih dan marah insiden ini?

Ketiga, jawapannya terkandung dalam usul yang dibawa Ahli Dewan Undangan PAS Terengganu, Dr Syed Azman pada sidang DUN Mac 2017 baru-baru ini. Usul beliau meminta “Dewan Undangan Terengganu meneliti serta membahas kembali Enakman Jenayah Syariah ( Hudud dan Qisas) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Terengganu pada 7 Julai 2002. Ia telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu pada 2 September 2002 dan diwartakan pada 25 September 2002. Ringkasnya, kenapa selepas 15 tahun PAS tidak meminta Umno Terengganu untuk bekerjasama memperkasakan Mahkamah Syariah serta undang undang yang telah diluluskan seperti di peringkat Parlimen?

Bukankah PAS mempunyai 14 kerusi dan Umno 17 dari 32 kerusi DUN Terengganu? Bukankah “penghalang” utama DAP, AMANAH dan MCA tidak mempunyai sebarang kerusi di Terengganu? Apa masalahnya?

Keempat, lagipun ini negeri presiden PAS. Lagipun juga, apabila undi tidak percaya oleh orang Umno sendiri terhadap Menteri Besar Terengganu, PAS berpendirian untuk menyokong Menteri Besar Umno untuk kekal. Hubungan PAS dan Umno amat baik di negeri Presiden PAS. Jadi apa masalahnya?

Apabila usul ditolak speaker dan Umno, anehnya lagi ahli-ahli DUN PAS tidak menyokong usul Dr Syed Azman. Kenapakah tiada usaha selama 15 tahun untuk Enakman Jenayah Syariah yang PAS sendiri bawa dan luluskan pada 2002 untuk diperkemas dan diperkasakan?

Kelima, adakah Enakman Syariah Terengganu yang berusia 15 tahun hanya untuk saham politik PAS negeri semata-mata? Kalau tidak kenapa tiada kemajuan dan usaha usul untuk dihidupkan semula tidak disokong? Malahan Dr Syed Azman dimarahi oleh Ketua Penerangan PAS Terengganu dan rakan rakannya.

Soalannya sekarang adakah ini cara PAS cuba memperalatkan RUU 355 untuk saham politik nasional pula? Adakah tujuan RUU 355 untuk menjadi penyelamat PAS dan penyambung hayat Umno walaupun Almarhum Nik Aziz menegur usaha menyelamatkan Umno yang sedang lemas dan juga usaha Kerajaan Perpaduan?

Kerana itulah seminar baru-baru ini menyatakan pendekatan Almarhum Harun Din, Mursyidul Am selama 2 tahun, lebih dekat dengan perjuangan PAS sebenar.

Ini dengan sekali gus cuba menidakkan sumbangan dan ketokohan Almarhum Nik Aziz yang menjadi Mursyidul Am selama lebih 20 tahun. Kerana itu jugalah Seminar Almarhum Nik Aziz pada 9 April ini cuba dihalang dengan laporan polis oleh pihak tertentu.

Dengan meminjam sedikit kata-kata ‘berhikmah’ speaker Parlimen Malaysia baru-baru ini, Umno dan PAS cuba membuat penyokong mereka dan rakyat Malaysia ‘bloody fool’ – rakyat yang mereka anggap mudah diperbodohkan. Ini adalah satu penghinaan yang amat dahsyat terhadap rakyat Malaysia.

Raja Bahrin Shah adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu

Tiada ulasan: