"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti Perlis tibai pentaksub mazhab

Asri petik pandangan luar biasa mazhab Syafi’e mengenai anak luar nikah
FMT Reporters
PETALING JAYA: Sehari selepas dituduh membelakangkan pandangan ulama silam dalam isu status anak luar nikah dalam Islam, Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin hari ini berkata mazhab Syafi’e yang menjadi anutan majoriti umat Islam Malaysia membenarkan seorang bapa berkahwin dengan anak luar nikahnya sendiri.

Asri berkata ia kerana mazhab tersebut menganggap bapa dan anak yang dilahirkan daripada hubungan luar nikah tidak mempunyai hubungan.

Asri berkata walaupun pandangan itu “boleh memberi sangkaan yang salah”, ia masih tidak bermakna ulama yang mengeluarkan pandangan ini boleh diserang.
“Demikian sikap sepatutnya terhadap ijtihad yang datang dari para mujtahid yang muktabar,” kata Asri dalam catatan Facebook hari ini.

Asri berkata adalah penting kepelbagaian pandangan fekah dialu-alukan dalam dunia yang mengalami perubahan.

“Ia menjadi jalan keluar untuk penyelesaian masalah yang mungkin tidak sama pada zaman yang lepas. Ketaksuban dan kedangkalan menjadikan kita gagal menangani permasalahan yang baru,” tambahnya.

Ia merupakan respon kedua Asri selepas mengundang kritikan pedas Mufti Perak Tan Sri Harussani semalam kerana menyokong penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes membabitkan seorang kanak-kanak luar nikah.

Mahkamah Rayuan minggu lalu menegur JPN kerana bertindak di luar kuasa apabila meletakkan “bin Abdullah” untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak yang diberikan taraf luar nikah ketika kelahirannya.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli berkata Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam, dan sebarang fatwa tidak boleh dijadikan rujukan dalam hal sivil.

Ia mengundang kritikan beberapa pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang menyeru umat Islam bersatu di belakang pihak berkuasa agama bagi merayu keputusan mahkamah itu.

Harussani berkata sokongan Asri terhadap penghakiman itu umpama menghalalkan zina.

“Pendapat mufti Perlis ini menghalalkan zina. Benda yang diputuskan sejak berzaman tidak boleh ubah, sebab ia berasaskan Al-Quran, hadis, ijma (persetujuan) ulama. Kenapa kita nak melawan hadis?” soal mufti Perak itu.

“Saya harap ulama ini harus berhati-hati, kita pakailah ijma yang telah dibuat berkurun lamanya.”

Asri hari ini turut memetik beberapa pandangan tegas lain, termasuk pendirian kesemua 4 mazhab Sunnah yang mengharamkan muzik.

“Tidaklah pula kita mendengar ada pihak yang menyatakan bahaya orangramai kerana telah keluar daripada mazhab jumhur. Bahkan yang mendakwa dirinya kukuh memegang mazhab itu pun mendengar muzik dan menonton filem yang bermuzik, juga handphone pun bermuzik. Tidaklah pula dia menghukum dirinya sesat kerana keluar mazhab?” katanya.

---------------------

DrMAZA.com
Mazhab Syafi'e membolehkan bapa zina berkahwin dengan anak zinanya. Demikian tegas Mazhab Syafi'e menafikan hubungan antara anak zina dan bapa zina.

Pandangan membolehkan berkahwin dengan anak zina ini ditolak oleh majoriti ulama. Lojiknya, bagaimana mungkin seseorang berkahwin dengan daging darahnya sendiri. Ini kerana secara biologi, itu merupakan anaknya. Sedangkan syarak mengharamkan perkahwinan hanya kerana susuan, bagaimanakah untuk membolehkan perkahwinan dengan seseorang yang berasal dari benih sendiri.

Sementara Mazhab Syafi'e melihat tiada apa-apa hubungan antara anak dan bapa tersebut. Zina tidak mensabitkan apa-apa. Maka, mereka bagaikan orang asing.

Walaupun pendapat ini dianggap marjuh dan boleh memberi sangkaan yang salah, juga kesan yang membimbangkan terutama dalam masyarakat yang meningkatkan kes-kes zina, namun kita tidak boleh membuat tuduhan buruk kepada mujtahid yang mengeluarkan pandangan ini. Demikian sikap sepatutnya terhadap ijtihad yang datang dari para mujtahid yang muktabar.

Demikian dalam isu muzik, jumhur ulama (majoriti) ke empat-empat mazhab termasuk Mazhab Syafi'e mengharamkan muzik selain duf (kompang). Pendapat yang membenarkan muzik merupakan minoriti. Tidaklah pula kita mendengar ada pihak yang menyatakan bahaya orangramai kerana telah keluar daripada mazhab jumhur. Bahkan yang mendakwa dirinya kukuh memegang mazhab itu pun mendengar muzik dan menonton filem yang bermuzik, juga handphone pun bermuzik. Tidaklah pula dia menghukum dirinya sesat kerana keluar mazhab?!

Ertinya, dalam dunia yang makin rencam dan berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain, kita wajar mendengar kepelbagaian pandangan dalam khazanah fekah yang luas. Ia menjadi jalan keluar untuk penyelesaian masalah yang mungkin tidak sama pada zaman yang lepas. Ketaksuban dan kedangkalan menjadikan kita gagal menangani permasalahan yang baru.

Tiada ulasan: