"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

LANGSUNG: Sah! Anwar kini bebas

LANGSUNG PEMBEBASAN ANWAR l Selepas menjalani lebih tiga tahun hukuman penjara atas kesalahan meliwat, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir dibebaskan. Ini susulan Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat hari ini untuk memutuskan perkara itu.

Anwar dan keluarganya, khususnya Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Wan Azizah Ismail yang juga adalah isterinya dan anak mereka, Nurul Izzah yang kini adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul, telah lama mendakwa pertuduhan itu bermotivasi politik.

Kekalahan mengejutkan BN pada pilihan raya umum minggu lalu menyaksikan kerajaan HARAPAN yang baru bergerak pantas untuk mendapatkan pengampunan buat Anwar dan melepaskannya dari penjara.

Anwar dijangka mengambil alih daripada perdana menteri ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa dua tahun.
Anwar Ibrahim diberi pengampunan penuh
Tajuk utama:

Anwar dijangka dibebaskan pada jam 11.30 pagi
Seri Paduka berkenan berjumpa Anwar, Wan Azizah, Azmin pada jam 12.30 tengah hari
Lembaga Pengampunan bersidang jam 11 pagi

1:25pm - Istana Negara - Anwar kelihatan keluar melalui pintu 1 Istana Negara dan dipercayai menuju ke kediamannya di Bukit Segambut.

Beliau juga dijadual mengadakan sidang media di sana. Wartawan dan jurugambar kemudian bergegas meninggalkan Istana Negara dan menuju ke Bukit Segambut pula.

Terdahulu di pintu 2 istana, kira-kira 300 penyokong Anwar berkumpul. Mereka turut melaungkan "reformasi".

1:10pm - Istana Negara - Suasana di hadapan Istana Negara kini meriah dengan semakin ramai kehadiran penyokong. Adalah dianggarkan kira-kira 300 orang sedang berkumpul di sini.

Ada juga penyokong, termasuk dari PKR Wangsa Maju yang membawa plakad "Selamat Kembali Pejuang Rakyat".

Turut juga kelihatan 50 teksi bewarna biru yang membawa bendera PKR bagi menyatakan sokongan ke atas pembebasan Anwar, hari ini.

Mereka turut membunyikan hon sambil melampai tangan kepada pihak media.

"Datang bagi sokongan terhadap pembebasan Anwar. Dulu dalam parlimen dia selalu bela nasib teksi.

"Kami tertekan selama ni dengan sikap kerajan lama tindas kami dengan perkhidmatan e-hailimg yang tiada kata putus dan tiada kelulusan.

"Harap HARAPAN akan mengkaji semula e-hailing di Malaysia yang tak sepatutnya diadakan disini," kata Pengerusi Suara Harapan Pemandu Teksi Semalaysia Zaidi Maaini.

1:05pm - Bukit Segambut - Seorang warden dari Jabatan Penjara dan kenderaan SUV hitam memasuki perkarangan rumah. Media terus meluru ke arah kenderaan itu.

Walau bagaimanapun, Anwar tidak berada di dalam SUV berkenaan dan situasi dengan cepat menjadi tenang.

Anwar dijangka pulang tidak lama lagi.

12:45pm - Segambut, Kuala Lumpur - Jalan ke rumah Anwar di Bukit Segambut dihiasi dengan bendera PKR.

Di luar pintu pagar, tertera sepanduk "Anwar masih relevan, bapa reformis Malaysia" .

Di dalam kawasan rumahnya, keadaan sedikit tegang dengan kehadiran para wartawan dan penyokong yang berasak sementara menunggu ketibaan ketua umum PKR itu.

12:18pm - Pintu 2, Istana Negara - Kelihatan lebih 20 penyokong Anwar tiba di kawasan istana dengan memakai baju-t PKR. Selain itu, hadir sama adalah 50 petugas media dari dalam dan luar negara yang menunggu Anwar keluar.



Anwar sudahpun mendapat pengampunan penuh daripada Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat hari ini.

Anwar memasuki Istana Negara pintu 1 pada jam 11.55 pagi tadi.

12.23pm - Istana Negara, Kuala Lumpur - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berada di sini ketika Anwar dibawa masuk ke istana.

Beliau dilihat menggengam kuat tangannya ketika bersalaman sambil berbual penuh mesra.

12:00pm - Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam satu kenyataan media mengesahkan bahawa Anwar telah diberi pengampunan penuh.

“Selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dengan dinasihatkan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah menitah perkenaan bahawa rayuan pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan dan diberikan pembebasan serta merta kepada beliau berkuatkuasa mulai dari tarikh persidangan mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.”

11:53am - Istana Negara - Anwar tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.
11.30 pagi - Hospital Rehabilitasi Cheras - Anwar keluar dari Hospital Rehabilitasi Cheras sambil melambai kepada penyokongnya. Beliau masih dikawal oleh warden penjara manakala wartawan meluru ke arahnya.

Beliau kemudian diarah menaiki sebuah kenderaan untuk ke Istana Negara bagi proses pengampunan itu.

11:05 pagi - Putrajaya - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat berlepas dari Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Beliau menuju ke Istana Negara untuk mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung kes Anwar.

Perdana Menteri adalah salah seorang anggota Lembaga Pengampunan.

PKR: Anwar bakal bebas setengah jam lagi

11am - Hospital Rehabilitasi Cheras - Ketua Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memberitahu media bahawa Anwar Ibrahim dijangka bebas dan keluar dari hospital dalam masa setengah jam iaitu pukul 11.30 pagi.

Anwar akan mengadakan sidang akhbar itu sejurus sebelum berlepas untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Seri Paduka berkenaan berjumpa dengan Anwar, Wan Azizah dan Azmin.

10.30am: Hospital Rehabilitasi Cheras - Timbalan Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali tiba dengan membawa surat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang berkenaan menerima Anwar, isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin untuk mengadap.

Mesyuarat itu akan berlangsung pada jam tengah hari di Istana Negara di Kuala Lumpur, selepas ketua umum PKR itu mendapat pengampunan daripada Lembaga Pengampunan.

"Kami akan ke istana pada pukul 11.30 pagi," kata Azmin kepada wartawan tempatan dan antarabangsa yang berkumpul di sana.

10:30am - Petaling Jaya - Lembaga Pengampunan Diraja dijangka bersidang pada jam 11 pagi ini di Istana Negara.

Portal Berita Harian Online memetik sumber Jabatan Penjara sebagai berkata, sekiranya permohonan pengampunan diluluskan hari ini, pihak penjara akan melaksanakan prosedur pembebasan di Wad 2C, Hospital Rehabilitasi Cheras.


Katanya, selepas itu pasukan pengiring Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan membawa beliau pulang ke kediamannya di Bukit Segambut.

"Pasukan Pengiring Anwar diketuai oleh PP Sirajuddin Abdul Majid bersama lebih 50 orang pegawai dan anggota Unit Kawalan & Pencegahan (UKP) dan Trup Tindakan Cepat (TTC) Jabatan Penjara Malaysia.

"Mereka dibantu Cawangan Trafik Wilayah Kuala Lumpur Cawangan Khas Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cheras dan Bahagian Ketenteraman Awam IPD Cheras," katanya.

10am: Hospital Rehabilitasi Cheras - Penyokong yang datang dengan bas sambil memakai baju biru muda yang tertera gambar Anwar tiba lebih awal daripada jangkaan waktu pembebasan.

Kira-kira 100 daripada mereka berkumpul di luar Hospital Pemulihan Cheras, sambil mengibarkan bendera PKR dan melaungkan "reformasi".
-malaysiakini

Tiada ulasan: