"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lebai dedah ‘skandal seks’ tidak dikenali, bukan ahli AMANAH Kuala Kedah

HUSIN MAHAT | Foto WAN ZAHARI SALLEH 
Lebai dedah ‘skandal seks’ tidak dikenali, bukan ahli AMANAH Kuala Kedah
AMANAH Kedah tidak mengenali individu bernama Rizal Abu Bakar (foto) yang kononnya mempunyai bukti kelakuan sumbang seorang pemimpin AMANAH dengan seorang wanita dan menyifatkannya suatu fitnah yang sengaja dilemparkan pihak tertentu bagi mencemarkan imej pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya Datuk Dr Ismail Salleh berkata, individu yang mendakwa sebagai ahli AMANAH Kuala Kedah itu tidak langsung dikenali oleh aktivis AMANAH negeri.

“Dia tak pernah dilihat di Kuala Kedah dan tidak dikenali oleh pemimpin tempatan,” ujar beliau.

Dr Ismail turut mempertikaikan istilah ‘Pan’ yang digunakan lelaki misteri itu apabila merujuk kepada AMANAH kerana istilah itu tidak digunakan pemimpin dan ahli parti.

Sebutan ‘Pan’ katanya hanya digunakan oleh musuh-musuh politik AMANAH dan tidak ahli parti.

Beliau yakin tuduhan tidak berasas membabitkan pemimpin AMANAH dengan skandal seks itu adalah permainan politik pihak tertentu untuk mencemar imej parti.

“Secara mudahnya ia suatu fitnah bagi mencemarkan imej pemimpin parti,” katanya.
Lebai misteri yang mendakwa dirinya sebagai ahli AMANAH Kuala Kedah bercakap kepada pemberita pada sidang media di Kuala Lumpur.

Petang tadi, seorang lelaki yang mendakwa dirinya anggota AMANAH menuduh pemimpin parti itu berkelakuan sumbang dengan seorang wanita.

Rizal Abu Bakar dan dua rakannya yang mengadakan sidang akhbar di sebuah hotel bajet di Kampung Baru, Kuala Lumpur berjanji untuk mendedahkan “skandal video seks terbaru” pemimpin AMANAH.

Mengaku sebagai ahli AMANAH Kuala Kedah, beliau menunjukkan tiga gambar tangkap layar perbualan WhatsApp pada kadbod bersaiz A3, yang kononnya memaparkan perbualan antara seorang lelaki dan seorang wanita.

Beliau turut memainkan dua rakaman perbualan telefon antara seorang lelaki dan seorang wanita.

Dia mendakwa kedua-dua mesej WhatsApp dan klip audio itu menunjukkan pemimpin parti dan wanita tersebut terlibat dalam hubungan sulit.

Rizal yang didesak wartawan supaya mengeluarkan bukti yang lebih meyakinkan enggan berbuat demikian tetapi mahu pemimpin AMANAH terbabit membuat penafian dalam tempoh 36 jam.

Tiada ulasan: