"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AES: Najib keliru dan mengelirukan

ZULHAZMI SHARIF

Kalau Menteri, KSU atau KP JPJ kabur macamana nak laksana, aku sentiasa berlapang dada untuk membantu memberikan pandangan dan cadangan, tulis Zulhazmi.
Bekas Perdana Menteri yang sedang menghadapi puluhan pendakwaan penggubahan wang haram Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya sedang gelabah menghadapi kes beliau sehingga keliru dengan tindakan sendiri dan kemudian cuba mengelirukan masyarakat.

Terbaru, bekas Perdana Menteri tersebut menyatakan bahawa Menteri Wilayah Persekutuan berbohong AES dikendalikan oleh syarikat swasta sebaliknya dikendalikan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Najib berkata Menteri Wilayah tidak memberitahu yang sebenar bahawa syarikat swasta tersebut ialah LTAT di mana pencarumnya ialah anggota angkatan tentera bukannya mana-mana syarikat swasta atau kroni.

Najib juga berkata projek AES ini dimulakan dan dipilih sebelum beliau menjadi Perdana Menteri iaitu pada tahun 2005 dan meletakkan beban kepada Perdana Menteri ke-4 iaitu Tun Dr. Mahathir. Kesian Najib menggelabah hingga keliru dengan diri sendiri. Kenapa gelabah sangat Bossku?

Untuk makluman Najib yang sedang menggelabah keliru, AES ini dicadangkan pada tahun 2010 dan kemudiannya dilaksanakan pada September 2012. Pada permulaan perlaksanaannya, AES dikendalikan oleh dua (2) syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES (M) Sdn Bhd.
Kedua-dua syarikat dikatakan mengeluarkan modal sebanyak RM717 juta untuk keseluruhan projek tersebut yang mana konsesinya selama lima (5) tahun berakhir 31/08/2018.

Apabila dibantah oleh masyarakat, Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Najib yang sedang membina empayar kleptokrasi ketika itu melalui Kementerian Kewangan telah memohon kepada Dewan Rakyat untuk menubuhkan sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (sama seperti 1MDB) untuk mengambil alih pengendalian AES daripada dua (2) syarikat tersebut.

Dewan Rakyat walau pun dibantah, meluluskan penubuhan AES Solution Sdn Bhd dengan modal RM10 juta. 2 September 2013, AES Solution dengan rasminya tertubuh.

Walau bagaimana pun, AES Solution telah gagal mengambil alih pengendalian AES dari Beta Tegap dan ATES. Lebur RM10 juta. Ini tidak disebut oleh Najib yang sedang gelabah.

Najib kemudiannya atas kapasiti Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mempengerusikan sebuah mesyuarat yang dihadiri oleh Menteri Pengangkutan, Timbalan Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan.

Melalui mesyuarat tersebut, LTAT dicadangkan mengambil alih perlaksanaan AES daripada kedua-dua syarikat swasta tersebut. Cadangan tersebut tidak lebih daripada menyelamat dan memberikan keuntungan segera kepada pemilik Beta Tegap dan ATES.

LTAT telah mengeluarkan sejumlah RM555 juta bagi pengambil alihan dua (2) syarikat pengendali asal AES iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES (M) Sdn Bhd. Dalam proses pengambil alihan oleh LTAT ini juga terdapat seorang individu menerima habuan ratus juta ringgit.

Apa yang pencarum LTAT dapat? Adakah Najib terlupa atau buat-buat tak tahu atau sengaja tak nak beritahu? Nak sembunyi apa Bossku?

Janganlah gelabah sangat sampai keliru dengan diri sendiri. Kawal sikit gelabah tu takut dari keliru jadi nyanyuk pula.

Apa pun yang Najib cuba gambarkan sebenarnya akan membongkar segala kerja buat Najib dan konco-konconya mengaut untung melalui AES.

Baik… itu hal Najib yang menggelabah sehingga keliru dengan diri sendiri samada dia tu bekas PM atau budak wechat.

Berbalik kepada perlaksanaan AES di bawah Kementerian Pengangkutan. Janji PH menghapuskan AES. Betul ke PH menipu?

Selama ini penentangan perlaksanaan AES atas beberapa faktor utama.

a) dikendalikan oleh syarikat swasta yang sememangnya mempunyai unjuran keuntungan. Bagi tempoh konsesi 5 tahun, syarikat mengunjurkan keuntungan RM3.84 bilion. Setahun keuntungan RM769.6. Modal hanya RM717 juta. Itu pun bukan keseluruhan RM717 juta dibelanjakan.

b) lokasi kamera yang tidak munasabah. Tujuan asal AES adalah untuk mengurangkan kemalangan maut BUKAN untuk mengurangkan kesalahan lalulintas. Tetapi lokasi kamera AES tidak pernah dibuktikan di kawasan kemalangan maut.

c) menggabungkan AES dengan Sistem mata dimerit menjadi AWAS.

Apa yang Kementerian Pengangkutan di bawah PH lakukan?

a) Menteri Pengangkutan membatalkan keseluruhan saman AES yang telah dikeluarkan sejak September 2012 sehingga 31 Ogos 2018 yang nilainya lebih kurang RM4.3 juta. Ini antara TUNTUTAN PALING UTAMA semasa era BN.

b) Konsesi syarikat swasta walau pun di bawah LTAT tidak disambung selepas tamat pada 31/08/2018. Sekarang AES di bawah kawalan dan pengendalian JPJ sepenuhnya.

WALAU BAGAIMANA PUN masih ada perkara yang perlu diperbetulkan oleh Kementerian Pengangkutan dalam perlaksanaan AES ini iaitu :

a) Kaedah perlaksanaan Saman dan kompaun.
b) Lokasi pemasangan kamera perlu dinilai semula.
c) Asingkan AES dengan sistem mata dimerit.

PH sewajarnya mengambil pendekatan lebih holistik dalam melaksanakan AES yang menjadi beban kepada masyarakat pengguna dan Kerajaan.

Jangan ditambah pedih pada luka sedia ada. Ubatilah masyarakat dengan berhemah.

Kalau Menteri, KSU atau KP JPJ kabur macamana nak laksana, aku sentiasa berlapang dada untuk membantu memberikan pandangan dan cadangan.


* Penulis sebelum ini adalah seorang peguam dan penentang AES. Kini beliau bekerja dengan Kementerian Wilayah Persekutuan. Ini adalah pandangan penulis.

Tiada ulasan: