"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Rasuah: Bekas ahli Parlimen Kota Tinggi mengaku tidak bersalah

Bernama
JOHOR BAHRU: Bekas anggota Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 2 pertuduhan menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada sebuah syarikat pencetakan pada 2013 dan 2014.

Bagaimanapun, ketika semua pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Kamaruddin Kamsun, tertuduh, 56, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menerima deposit tunai berjumlah RM50,000 daripada Karya Hidayah Sdn Bhd melalui akaun Maybank miliknya pada 6 September 2013.

Kesalahan dilakukan di Malayan Banking Bhd cawangan Kluang, Jalan Dato Haji Hassan, dalam daerah Kluang, ketika tertuduh merupakan ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Bagi pertuduhan kedua pula, Noor Ehsanuddin didakwa menerima sebidang tanah berkeluasan 0.142 hektar bernilai RM180,000 di Lot 5876, Mukim Kota Tinggi daripada syarikat sama.

Kesalahan dilakukan pada 23 Mac 2014 di Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi, Bangunan Sultan Iskandar, Aras 1, Jalan Lombong di Kota Tinggi ketika beliau masih seorang ahli Lembaga Pengarah Felda.

Noor Ehsanuddin didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu dipenjara selama tempoh 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil menawarkan ikat jamin sebanyak RM40,000 kepada tertuduh dan dipersetujui oleh pihak pembelaan.

Hakim menetapkan 27 Mac ini untuk kes disebut semula.
Tertuduh diwakili oleh peguam Datuk Thrichelvam dan Vincent Lawrence.

Tiada ulasan: