"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid dedah rahasia Umno, PAS 'bertaawun' sebelum PRU14 lagi

Haspaizi Zain

Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan beberapa siri pertemuan telah diadakan antara pemimpin Umno dan PAS bagi membincangkan soal kerjasama antara dua parti itu sebelum pilihan raya umum (PRU) ke 14.

Bagaimanapun kata presiden Umno yang sedang bercuti itu, tiada keputusan dicapai dan PAS memilih untuk bersendirian.

"Secara ikhlas, sebelum PRU14 beberapa siri pertemuan diadakan antara kepemimpinan atasan Umno, BN dan PAS. Bagaimanapun tidak ada keputusan secara konkrit untuk hadapi secara bersama.

"PAS ambil keputusan untuk bersendirian tanpa bergabung dengan kerajaan (BN pada masa itu) walaupun ada perbincangan.

"Realitinya kekalahan Umno, BN adalah sebab pertandingan tiga penjuru sama ada di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya dalam satu forum bertajuk Kerjasama Umno dan PAS Sejauh Mana? di Dewam Utama Kompleks Umno Bagan Datuk, malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk dan Yang Dipertua PAS kawasan itu, Misbahul Munir Masduki bertindak selaku ahli panel pada program berkenaan.

PAS dan Umno menjalinkan kerjasama yang lebih serius selepas PRU14 apabila dua parti dominan orang Melayu itu memecahkan tradisi "permusuhannya" dengan membentuk kesepakatan politik.

Ia diterjemahkan dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) yang berlaku apabila BN tidak meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PAS, begitu juga PAS memberi laluan BN bertanding di kerusi yang dilihat memihak sekutunya itu.

Terbaru dalam PRK Parlimen Cameron Highlands yang menyaksikan BN memenangi kerusi berkenaan dengan PAS turut membantu kempen.

Begitu juga dengan PRK DUN Semenyih akan akan berlangsung tidak lama lagi, PAS memberi laluan kepada BN bertanding di kerusi itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata jika Umno dan PAS mahu merampas kembali Putrajaya, mereka perlu ikhlas membuat keputusan secara bersama.

Beliau berkata, pemimpin kedua-dua parti itu perlu ikhlas melakukan perubahan.

"Wahai pemimpin Umno, wahai pemimpin PAS dengan ikhlas saya katakan Umno kali ini benar-benar ikhlas demi kepentingan agama.

"Selama ini sebagai keeajaan mungkin ada "kefasikkan" yang dilakukan, mungkin ada dosa besar dan kecil (dilakukan) ini proses pembersihan kepada Umno," kata Ahmad Zahid.

Katanya kerjasama Umno dan PAS perlu segera diterjemahkan dalam bentuk yang lebih konkrit untuk mendepani cabaran semasa.

Tiada ulasan: