KOSMO!

PASUKAN menyelamat turun ke dasar gua untuk mengeluarkan mangsa. - Siamrath
BANGKOK – Seorang lelaki maut selepas terjun dari tebing setinggi 40 meter di kawasan air terjun Pa Wai di Phop Phra semalam, lapor laman berita Thaiger.
Mangsa dikenali sebagai Kanokphon, 25, dipercayai nekad terjun selepas membuat janji untuk sehidup semati bersama teman wanitanya setelah hubungan cinta mereka tidak mendapat restu keluarga.
Menurut polis Phop Phra, kejadian berlaku apabila pasangan terbabit merancang untuk menamatkan riwayat mereka di kawasan tinggi di atas sebuah gua di jeram tersebut.
Bagaimanapun, ketika kejadian, hanya mangsa yang terjun ke dalam gua berair tersebut, manakala teman wanitanya membatalkan hasrat pada saat-saat akhir.
Pasukan penyelamat dan pegawai perubatan yang dikejarkan ke lokasi popular berkenaan mengambil masa beberapa jam sebelum berjaya mengeluarkan mayat mangsa.
Mayat mangsa kemudia dihantar ke hospital tempatan bagi proses bedah siasat.
Siasatan awal mendapati pasangan terbabit telah lama menjalin hubungan dan berhasrat untuk berkahwin.
Namun, niat mereka ditentang hebat oleh keluarga berikutan status mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan serta berkongsi nama keluarga yang sama.
Tekanan emosi akibat bantahan tersebut dipercayai menjadi punca mereka sepakat untuk menamatkan riwayat hidup bersama pada 6 Oktober lalu.
Polis sedang menyoal siasat teman wanita mangsa serta ahli keluarga kedua-dua belah pihak bagi melengkapkan siasatan kes. – AGENS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan