"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan baharu di Perak: Nada Pas sudah lain

FAZLI RADZI

Pas melihat dua aspek dalam isu pembentukan kerajaan baharu di Perak sama ada menyokong tetapi tidak berada dalam pentadbiran atau bersama menyertai kerajaan.

Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya percaya Umno akan berbincang dengan Pas berhubung pembentukan kerajaan baharu di negeri itu.

“Jadi, tidak bersama itu bukan bermakna tidak menyokong kerajaan tetapi kita tidak duduk di dalam (pentadbiran).

“Bagaimanapun ini akan dibincang, saya yakin Umno akan bincang dengan Pas untuk cari penyelesaian,” katanya.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata demikian kepada media di Pasir Puteh, Kelantan, hari ini selepas ditanya mengenai pendirian Pas untuk tidak terlibat dalam pembentukan kerajaan baharu di Perak.

Kelmarin, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu berpendirian tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan Perak yang baharu.

“Pas akan terus berperanan sebagaimana biasa dalam masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas secara prinsip mahu mempertahankan Perikatan Nasional (PN) walaupun secara moralnya parti itu berada di pihak yang menyokong bekas Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, Pas mengundi Faizal apabila usul percaya Menteri Besar dibawa oleh Umno.

“Dari segi moralnya apabila kita menyokong dan tiba-tiba undi itu kalah, lepas itu (kalau) kita duduk dalam kerajaan yang tidak terima usul itu ia akan menggambarkan kita tidak konsisten.

“Sebab itu bila usul itu dibawa kita sokong untuk kestabilan, walau bagaimanapun kita akan lihat di peringkat Umno terutama sekali dalam perundingan siapa akan menjadi menteri besar baru.

“Saya sebut secara prinsip sebab pendirian parti sudah dibuat sebelum undian (usul percaya), apabila mereka nak buat usul percaya kita buat mesyuarat dan ambil pendirian parti. Jadi, kita istiqamah dengan pendirian parti,” jelasnya.

Tuan Ibrahim menegaskan kepada media di Pasir Puteh, Kelantan hari ini, secara moralnya Ahmad Faizal harus kekal dan Pas tidak berada bersama kerajaan baharu.

Tiada ulasan: