"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mujahid akan dedahkan isu yang merosakkan TH sebelum diambil alih

MALAYSIA DATELINE

Bekas Menteri Agama Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa akan mendedahkan lagi banyak isu yang telah merosakkan institusi umat Islam Tabung Haji (TH) termasuk Tabung Haji Plantation (THP).

Beliau berkata, isu yang telah merosakkan institusi umat Islam sebelum beliau mengambil alih di mana ianya berlaku ketika pentadbiran kerajaan BN.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar juga mengaku laporan polis telah pun dibuat atas jenayah korporat terbesar di dalam Tabung Haji sehingga memaksa beliau membuat penstrukturan semula TH.

THP adalah anak syarikat TH induk untuk fokus pada sektor perladangan.

Pada tahun 2006, TH menerokai bidang perladangan memandangkan permintaan sawit yang meningkat.

Dari sebuah syarikat yang berskala sederhana dengan pemilikan 15,000 hektar, katanya THP menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Pada tahun-tahun berikutnya, jelas beliau THP secara agresif membeli ladang besar sehingga keluasan milik ladangnya pada tahun 2012 menjadi 100,000 hektar

“Dari sudut perniagaan, tidak ada salahnya membesarkan keupayaan kita tetapi ia perlu melihat kepada kerapuhan modal pelaburan, hutang, kos operasi dan kapasiti produktiviti dan infrastruktur.

“Oleh kerana THP adalah syarikat yang berdaftar dengan Bursa, ia tertakluk kepada undang-undang pengurusan korporat Bursa Malaysia, THP perlu memastikan perjalanannya mengikut piawaian yang ditetapkan,” ujarnya.

Jelasnya, perkara yang membabitkan hutang, kos pelaburan yang tinggi, kos operasi menyebabkan kedudukan kewangan THP menyempit.

Misalnya, kata beliau pada tahun 2015, THP dalam menangani masalah hutang membuat keputusan menjual TH Bakti bernilai RM16.3 juta dan TH Gemas bernilai RM154 juta kepada sebuah syarikat swasta Dupont dengan alasan mengurangkan beban hutang THP.

Tahun kewangan 2018, tambahnya, THP menanggung hutang RM 1.24b dan pada suku ke-3 hutang meningkat kepada RM1.29b.

“Pegangan tunai menyusut dari RM50.6 juta kepada RM43.8 juta. Keadaan ini memerlukan THP membuat rasionalisasi aset untuk memastikan kestabilan kewangannya.

“Sama seperti tahun 2015, THP perlu melihat masalah hutangnya dan menyelamatkan aset lain yang membawa hasil lebih baik untuk mengurangkan kos operasinya,” kata beliau.

Di atas alasan tersebut, Mujahid berkata beberapa ladang yang tidak produktif dan bermasalah terpaksa dilepaskan supaya dengan berbuat demikian THP menjimatkan kos pinjaman sebanyak RM9.41 juta.

“Usaha menyelamatkan kewangan THP adalah urusan biasa amalan pengurusan korporat yang tertakluk bawah peraturan Bursa Malaysia.

“THP juga ada ahli lembaganya yang bebas membuat keputusan atas kepentingan kewangan syarikat,” katanya.

Malangnya kata beliau isu THP menjadi isu politik yang membawa naratif aset dan harta orang Islam yang dijual kepada orang Cina.

“Campurtangan politik telah menjejaskan perjalanan THP yang kini mengalami masalah. Tujuan rasionalisasi aset adalah untuk selamatkan aset ladang lain yang membawa pulangan tinggi, manakala aset yang membebankan perlu dilepaskan supaya THP dapat berkembang dengan baik.

“Apakah ini satu contoh awalan campurtangan politik dalam amalan pengurusan korporat yang telus?

“Apakah entiti korporat tertakluk kepada tekanan politik sehingga kerajaan TSMY tidak mampu mempertahankan satu keputusan perniagaan yang telah pun diperakui pada 24 Nov kewajarannya?” soal beliau.

Tiada ulasan: