"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Covid-19: Kita sudah atasi India dan Amerika

MALAYSIA DATELINE

Kes baharu Covid-19 di Malaysia kini sudah mengatasi India dan Amerika Syarikat jika dibandingkan kes baharu bagi setiap sejuta penduduk.

Bahkan, jumlah pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga sangat tinggi berbanding ketika darurat diumumkan 11 Jun lalu.

Kemampuan negara ini untuk membina hospital medan juga sangat terhad berbanding dengan kadar kenaikan pesakit di ICU.

Isu ini dibangkit oleh dua ahli parlimen veteran, Lim Kit Siang (Iskandar Puteri) dan juga Datuk Seri Najib Rajak (Pekan) dalam kenyataan terbaru masing-masing.

Bagi Lim Kit Siang, jika soalan ditanya pada awal pandemik 17 bulan lalu, apa akan dibuat kepada kerajaan jika kerajaan yang ada membenarkan setengah juta rakyat negara ini terkena wabak ini dan lebih 2,100 rakyatnya mati kerananya.

“Jawapannya sudah tentu kerajaan yang ada tidak layak untuk kekal berada di puncak kuasa dan mesti digantikan,” kata Lim Kit Siang.

Bagi beliau, orang ramai tidak menyangka kerajaan Perikatan Nasional ini begitu buruk dalam mentadbir negara ini.

“Rakyat Malaysia tidak pernah menyangka bahawa Perikatan Nasional akan menjadi kerajaan yang sangat teruk dan kakistokratik kerana gelombang Covid-19 kedua dan ketiga, yang telah menjadi gelombang Covid-19 terpanjang di dunia, kini telah menjangkiti lebih dari setengah juta orang dan membunuh lebih dari 2,100 orang – dan masih belum ada cahaya di hujung terowong, kerana yang terburuk nampaknya masih menunggu kita,” kata Kit Siang.

Bagi Najib pula, ketika kerajaan PN umum darurat pada 11 Jan lalu, jumlah pesakit Covid kritikal adalah sebanyak 187 orang.

“Semalam pula, 587 pesakit. Hari ini naik 57 ke 643 pesakit dalam ICU.

“Bayangkan, kenaikan 57 orang dalam sehari!” kata beliau.

Angkatan Tentera Malaysia, katanya, perlukan masa hampir 2 minggu untuk membina hospital medan Kepala Batas untuk menambah kapasiti ICU.

Baru selesai dibina hari ini, tapi jumlah katil ICU baru cuma 27 sedangkan pesakit ICU naik 57 orang dalam tempoh 24 jam sahaja, tulis beliau menerusi Facebooknya.

“Mana mungkin kita mampu bertahan sekiranya keperluan katil ICU meningkat dengan kadar jauh lagi laju berbanding kemampuan kita menambah kapasiti ICU?” kata bekas perdana menteri itu.

Tiada ulasan: