"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SELAGI MAHIADDIN TIDAK DITUKAR, NEGARA INI AKAN TERUS HARU-BIRU

Shahbudin Husin

Di ketika kes Covid19 terus menunjukkan angka peningkatan sebelum ini, Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin pernah menyebut kerajaan tidak akan melaksanakan PKP 3.0.

Kemudian ketika PKP dikuatkuasakan di enam daerah di Selangor dan beberapa daerah di negeri-negeri lain, Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob menyusul dengan memberi jaminan, PKP ini tidak akan diperluaskan ke seluruh negara.

Tetapi, dua hari selepas itu dan hanya beberapa hari menjelang 1 Syawal, Mahiaddin sendiri mengumumkan melalui kenyataan meddia tentang perlaksanaan PKP di seluruh negara.

Mahiaddin Perdana Menteri dan beliau juga yang mempengerusi semua mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, namun semua keputusan terlihat celaru dan haru-biru.

Serentak dengan itu, rakyat jadi bingung dan pening kepala dibuatnya.

Selain itu, pelbagai peraturan dan SOP turut diperkenalkan setiap kali PKP diumumkan.

Malangnya, yang kedapatan lebih dulu melanggar SOP ialah para menteri sendiri, termasuk Mahiaddin sendiri yang gambarnya tidak memakai pelitup muka telah pun tular di media sosial sejak sekian lama.

Malang lagi buat rakyat biasa, hanya mereka yang serta-merta didenda, tetapi tindakan, malah siasatan terhadap golongan kayangan bukan main lembab lagi dijalankan, siput babi merangkak pun lagi laju agaknya.

Azmin Ali yang dihebohkan menyambut hari raya di rumah rasminya bersama anak menantu yang sudah berkahwin, masih lagi dilaporkan dalam siasatan pihak berkuasa dan ternampak tak mustahil akan lepas begitu saja.

Walaupun siasatan awal polis dan pengakuan Azmin sendiri menggambarkan semua anak dan menantunya tinggal serumah di kediaman rasmi itu, persoalan lain ialah apakah anak dan menantunya yang sudah berumahtangga itu selama ini turut menumpang menikmati kemudahan bil api, air dan pembentungan percuma atas nama Azmin sebagai menteri?

Kalau begitu….wowww seronoknya, bukan saja hidup menteri ditanggung dengan duit cukai rakyat, tetapi juga anak, menantu dan cucu-cucu mereka sekali?

Beberapa menteri lain yang dipaparkan telah melanggar SOP juga seperti senyap begitu saja kes mereka.

Kali ini rakyat bukan saja celaru dan keliru, malah jadi marah dibuatnya

Bila mahu undi mereka, macam-macam dijanji, diberi harapan dan kononnya rakyat diutamakan, rupa-rupanya selepas menang, golongan kayangan jauh lebih didaulatkan.

Lantaran itu, kerajaan ini tidak ragu-ragu lagi dianggap sebagai kerajaan yang gagal iaitu gagal mengutamakan rakyat dan hanya mendahulukan puak-puak mereka semata-mata.

Setelah PKP 2.0 yang separuh masak, ditambah dengan darurat dan diikuti pula dengan PKP 3.0 yang banyak kelonggaran dilihat gagal membendung penularan wabak Covid19, kerajaan kini dilaporkan mahu memperkenalkan PKP sepenuhnya seperti PKP 1.0 dahulu di Selangor.

Ini kerana kes Covid19 di Selangor dalam sehari dua ini dilaporkan begitu tinggi dan terus menunjukkan peningkatan.

Melaksanakan PKP sepenuhnya di Selangor, tetapi masih ada kelonggaran di negeri-negeri lain, ia bukan saja suatu penganiayaan yang berpilih-pilih, lebih daripada itu ia juga menunjukkan sekali lagi kegagalan kerajaan dan Mahiaddin dalam membuat keputusan.

Jika PKP 2.0 atau PKP 3.0 dibuat sepenuhnya seperti PKP 1.0, keadaan mungkin tidak seburuk sekarang.

Sekarang, dengan PKP sepenuhnya mungkin dikuatkuasakan di Selangor, tetapi PKP yang longgar di negeri-negeri lain dibiarkan berterusan, tiada jaminan PKP 4.0, PKP 5.0, PKP 6.0 dan seterusnya tidak dilaksanakan.

Maknanya kita akan terus dibelenggu dan diburu oleh PKP demi PKP tanpa menentu.

Sebab apa?

Sebabnya tidak lain ialah kerana kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang tidak layak untuk menguruskan negara ini.

Sejak Mahiaddin memimpin negara melalui pengkhianatan, macam-macam kekeliruan, caca marba dan ketidaktentuan dalam keputusan yang dibuat oleh kerajaan dalam hal berkaitan PKP dan hal tersebut berlaku adalah bukti nyata tentang ketidakmampuannya.

Negara akan terus celaru, haru biru dan tidak menentu, manakala rakyat terpasong keletihan selagi Mahiaddin kekal lagi memimpin negara ini.

Apabila orang yang tidak layak dan tidak mampu menjadi ketua, dalam apa organisasi sekali pun, celaru dan haru-birulah jadinya.

Kalau kita ingin negara berubah dalam cara ia diurus dan cekap menangani krisis serta tidak membuatkan rakyat pening kepala, perubahan paling asas ialah Mahiaddin wajib diubah terlebih dahulu. (ShahbudinHusin 18/05/2021)

Tiada ulasan: