"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Walau negara kena PKP, aliran trafik dari Pantai Timur sesak teruk

FAZLI RADZI

Trafik sesak teruk sepanjang 3.3 kilometer sebelum keluar Plaza Tol Gombak menghala ke Kuala Lumpur setakat jam 6 petang tadi.

Situasi laluan dari Pantai Timur itu dilaporkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi Twitter berserta foto rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dengan jalan dari arah bertentangan dilihat agak lengang.

Pertambahan jumlah kenderaan di lebuh raya tersebut pada 5 Syawal hari ini serentak berakhirnya cuti panjang sempena Hari Raya Aidilfitri.

Walau bagaimanapun, aliran trafik sesak itu mencetuskan persoalan sejauhmana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan larangan rentas daerah dan negeri bermula pada 10 Mei hingga 6 Jun dipatuhi orang ramai. 

Sebelum ini, laluan keluar masuk menghala ke Plaza Tol Gombak dilapor menerima jumlah kenderaan sekitar 80,000 hingga 120,000 pada hari biasa.

Namun, angka tersebut melonjak sehingga 180,000 kenderaan, sekali gus menyebabkan kesesakan yang agak kritikal sewaktu musim balik kampung semasa perayaan.

Negara sedang berdepan kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing akibat gelombang ketiga Covid-19 dengan kewujudan sejumlah varian baharu yang mencetuskan kadar jangkitan lebih tinggi.

Hari ini terdapat lagi 4,446 kes baharu Covid-19 dengan 43,506 kes aktif dengan jumlah kematian sebanyak 1,947 kes.

Daripada 4,446 kes hari ini, Kelantan mencatatkan 343 kes, diikuti Terengganu (201) dan Pahang 139 kes.

Tiada ulasan: