"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kajian Ilham Centre menunjukkan 78.3% Melayu Islam kecewa RUU 355 belum dibentang

MALAYSIA DATELINE

Badan penyelidik Ilham Centre mendedahkan majoriti orang Melayu Muslim iaitu sebanyak 78.3 peratus telah melahirkan rasa kecewa apabila Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 belum dibentang di Parlimen.

Menurut Ketua Penyelidik Ilham Centre Dr Mohd Yusri Ibrahim daripada kajian itu juga menunjukkan majoriti orang Melayu-Muslim iaitu sebanyak 76.4 peratus mendakwa mahkamah syariah masih gagal diperkasakan.

Beliau memberitahu, Ilham Centre baru sahaja selesai menjalankan kajian Pandangan & Sentimen Komuniti Melayu-Muslim Terhadap Agenda Reformasi Institusi Di Malaysia.

“Banyak dapatan menarik yang diperolehi daripada kajian ini, sebahagiannya telah dilaporkan oleh media masa selepas sidang media diadakan pada minggu lepas,” katanya ringkas di Facebooknya.

Untuk rekod, kajian ini dilaksanakan terhadap komuniti Melayu-Muslim di Semenanjung Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas, persampelan dijalankan secara rawak berstrata mewakili semua ciri demografi populasi.

Umum mengetahui RUU 355 adalah agenda utama yang dibawa oleh Pas sejak sekian lama bagaimanapun sehingga kini rang undang-undang itu belum dibentangkan lagi di Parlimen.

Baru-baru ini, kerajaan memaklumkan cadangan meminda RUU 355 masih dalam peringkat perbincangan.

Perdana Menteri dalam jawapan kepada pertanyaan lisan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) semalam menjelaskan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan RUU 355 telah diadakan sepanjang 2020 dan tahun ini.

Polemik berhubung RUU 355 muncul sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) termasuklah aksi himpunan mega Pas di Padang Merbok di ibu negara pada 18 Februari 2017.

Cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) diusulkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016.

Beliau mencadangkan hukuman mengikut hukum syarak kecuali hukuman mati tetapi kemudian ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat berikutnya.

Pada 24 November 2016 pula, Ahli Parlimen Marang itu mengemukakan pindaan kepada usul pertama dibuat pada 26 Mei dengan mencadangkan hukuman denda RM100,000, penjara 30 tahun dan sebat 100 kali serta pindaan usul itu ditangguhkan.

Selanjutnya, pada 6 Mei 2017, usul itu dicadangkan semula dengan lebih mendalam Ahli Parlimen Marang dan diperjelaskan oleh Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) tetapi tidak dibahaskan kerana Dewan Rakyat menangguhkan usul itu untuk dibahaskan ke persidangan berikutnya.

Semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) tahun lalu, persoalan mengenai RUU 355 sekali lagi dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

Pada 22 Julai 2020, dalam soalan lisan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) mengenai statusnya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu, Ahmad Marzuk Shaary, memaklumkan ia memerlukan pertimbangan dan penelitian menyeluruh agar tidak bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: