"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu: Parti Proklamasi Melayu sokong PN pada PRN

Hariz Mohd

Parti politik yang menandatangani Proklamasi Melayu semuanya bersetuju untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Demikian menurut Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, yang mewakili parti itu pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur awal hari ini.

Bercakap kepada Malaysiakini, Razali berkata parti-parti bukan PN telah bersetuju untuk tidak menyertai PRN bagi memastikan akan berlaku saingan antara PN dan Pakatan Harapan (PH) atau sekutunya.

"Kita ada dua matlamat, yang pertamanya pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang.

"Pelan jangka panjangnya adalah kita sememangnya bersatu tenaga bagi mengumpulkan kekuatan untuk menjatuhkan kerajaan PH dan BN sekarang.

"Dan pelan jangka pendek adalah PRN enam negeri yang mana kita bersetuju bahawa PN adalah satu vehicle (platform) orang Melayu yang telah terbukti mempunyai 74 kerusi semua Melayu dan bumiputera.

"Jadi kita bersatu hati menyokong vehicle ini supaya keenam-enam negeri ini dapat ditawan oleh PN,” katanya.

Razali berkata semua parti lain telah bersetuju untuk tidak bertanding PRN dan sebaliknya memberikan sokongan kepada PN, termasuk berkempen untuk calon gabungan itu.

Awal hari ini, Mahathir, yang mengasaskan Proklamasi Melayu - gerakan yang dikatakan bertujuan menyatukan semua orang Melayu untuk menjaga kepentingan mereka di negara ini - mengumumkan bahawa semua pihak yang menandatangani proklamasi itu bersetuju untuk bekerjasama termasuk semasa PRN.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat itu, bekas perdana menteri itu berkata mereka tidak akan bertembung sesama sendiri dalam PRN.

Antara yang turut serta dalam mesyuarat itu ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, Pengerusi Muafakat Nasional Annuar Musa, Pengerusi Pejuang Mukhriz Mahathir, Presiden Putra Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim, bekas ahli parlimen Tanjong Karang Noh Omar dan bekas ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Tiada ulasan: