"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jamal Yunos: 17 kerusi untuk BN Selangor hanya cadangan

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Umno Selangor menolak dakwaan Barisan Nasional (BN) memberi tekanan kepada Pakatan Harapan (PH) dengan menuntut 17 kerusi untuk ditandingi bagi PRN.

Ahli Jawatankuasa Umno Selangor, Jamal Yunos, berkata jumlah itu hanya cadangan dan pandangan daripada BN untuk ia dipertimbangkan PH yang juga sekutu dalam kerajaan perpaduan.

“Kita (Umno/BN) beri pandangan, cadangan, bukan kita minta atau desak, yang akhirnya kita serah kepada pucuk pimpinan untuk tentukan. Kita tak paksa untuk diberi 17 kerusi kerana yang mustahak kerajaan perpaduan di Selangor terus memerintah selepas PRN.

“Kita bukan mahu berapa banyak kerusi nak bertanding, tetapi kita nak berapa banyak kita boleh menang itu lebih penting,” katanya kepada FMT sambil memaklumkan proses rundingan berjalan sangat harmoni antara BN dan PH serta tidak timbul isu perebutan kerusi.

Jamal berkata, pihaknya yakin Umno akan bertanding di lebih 10 kerusi DUN di Selangor pada PRN selaras semangat kerajaan perpaduan yang dibentuk untuk memastikan setiap rundingan dibuat secara adil.

Dalam perkembangan sama, Jamal berkata BN dan PH mungkin menukar kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu jika merasakan tidak sesuai lagi bertanding di kawasan sama.

“Ada kerusi akan bertukar kawasan antara Umno-BN dan PH yang mana parti kerajaan bertanding yang kita fikir boleh menang. Tak semestinya DUN Umno yang sudah menang, Umno akan bertanding di sana, tetapi kuota itu boleh bertukar-tukar.

“Kalau Umno rasa tempat itu susah nak menang, berlaku pergolakan dalaman dan isu-isu lain, kita tukar dengan PH.

“Begitu juga kerusi PH yang kita rasakan walaupun PH sudah menang di situ sebelum ini kalau dirasakan PH tidak boleh menang, tak bersesuaian di situ mungkin kita bagi kepada Umno bertanding dengan syarat setuju sama setuju,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan BN tidak berpuas hati dengan tawaran 10 kerusi oleh PH di Selangor sebaliknya menyasarkan bertanding 17 kerusi.

Tiada ulasan: