"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Miliki dadah, pistol, 5 sekeluarga termasuk 2 budak ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lima sekeluarga ditahan susulan serbuan di rumah mereka di Kampung Takang, Tawang, Bachok, dekat Kota Bharu, menemukan sejumlah dadah dan sepucuk pistol.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata mereka yang berusia antara 11 hingga 54 tahun terdiri daripada seorang lelaki, dua wanita warga Thailand dan dua kanak-kanak, dalam serbuan pada 30 Mei.

Beliau berkata, serbuan dilakukan pada 7 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bachok dalam Ops Tapis Khas dan Ops Tapis Bersepadu.

“Pemeriksaan polis telah menemukan 952 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM10,472 yang boleh digunakan oleh seramai 952 penagih.

“Pemeriksaan juga turut menemukan sepucuk pistol jenis Steyr Mannlicher M004124, satu magazine hitam bertulis Austria, 11 butir peluru berukuran 9mm, satu besi hitam bertulisan Weapons Oil Medium dan dua batang berus,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPK Kelantan, Kota Bharu.

Mengulas lanjut, Zaki berkata, semua yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau, namun suspek lelaki didapati positif dadah.

Menurutnya, semua suspek direman tujuh hari mulai 31 Mei lalu dan tamat semalam.

“Semua suspek bagaimanapun disambung reman mulai hari ini hingga Selasa depan (13 Jun) untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1971,” katanya.

Sementara itu, Zaki berkata, seramai 555 individu telah ditahan sepanjang Ops Tapis Khas bermula 29 Mei hingga semalam, melibatkan pelbagai kesalahan dadah dan Akta Racun 1952.

“Kesemua yang ditahan itu berusia antara 11 hingga 59 tahun melibatkan 515 warga tempatan, warga asing (35), empat pelajar, dan seorang penjawat awam.

“Dalam operasi ini juga pelbagai jenis dadah seperti pil kuda, syabu, ganja, ekstasi, dan pil psikotrapik bernilai RM395,600 telah dirampas,” katanya.

Tiada ulasan: