"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH-BN bimbang retorik kaum, agama jejas peluang pada PRN

Azril Annuar

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bimbang isu retorik kaum dan agama mungkin mengalihkan pengundi atas pagar Melayu untuk menyokong Perikatan Nasional (PN).

Seorang pemimpin PKR memberitahu FMT, sokongan pengundi Melayu untuk kerajaan persekutuan dan pembangkang kini terbahagi 50-50, berdasarkan keahlian dan data sokongan semua parti dalam ketiga-tiga gabungan.

“Buat masa ini, penyelidikan kami menunjukkan 25% Melayu menyokong PH dan BN, manakala 25% lagi PAS dan Bersatu.

“Sebanyak 50% selebihnya adalah golongan atas pagar, namun kami bimbang propaganda perkauman dan agama mampu mengalihkan sokongan kumpulan ini kepada PN,” katanya dengan menambah PN dibimbangi meningkatkan retorik itu pada hujung pertandingan.

Sumber enggan dinamakan itu berkata, lebih menyukarkan keadaan apabila ramai pemimpin dan penyokong Umno semakin hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan sendiri, kini juga semakin “termakan” retorik PN itu.

Katanya, di Selangor kemungkinan besar gabungan PH-BN akan hilang “supermajority” 45 daripada 56 kerusi DUN, namun mungkin mengekalkan kedudukannya sebagai gabungan pemerintah.

Menurut laporan FMT sebelum ini, Umno mungkin hilang sehingga 40% sokongan akar umbi di Kedah, selepas presiden parti Zahid Hamidi menyingkirkan “panglima perang” Umno sebelum PRU November lalu, termasuk Khairy Jamaluddin.

Dalam podcast “Keluar Sekejap” minggu lalu, Khairy meramalkan 50% penyokong akar umbi Umno di seluruh negara akan menyokong PN.

Minggu lalu, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, menafikan laporan bahawa Pemuda Umno tidak mengundang rakan sayap parti lain dalam kerajaan perpaduan untuk menghadiri perhimpunan sayapnya minggu ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri dan Pengerusi PH Anwar Ibrahim menggesa PAS berhenti menggunakan naratif kolot, termasuk dakwaan kerajaan PH mengkhianati orang Melayu.

Beliau mengulas komen Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang membayangkan PH tidak sesuai memimpin negara kerana “dikuasai” parti bukan Islam.

Pada Januari, Timbalan Presiden, PKR Rafizi Ramli, mendakwa kemenangan besar PAS dalam PRU15 lalu disebabkan retorik perkauman bahawa orang bukan Melayu “akan mengambil alih negara”.

PN menang 74 kerusi dalam PRU15, dengan 49 dimenangi PAS iaitu jumlah tertinggi diraih sesebuah parti.

PRN di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu dijangka diadakan menjelang Julai.

Tiada ulasan: