"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami Wanita Tanggal Baju Kelab Komedi, Didenda RM16,000

Wartawan Samudera 

PETALING JAYA, 07 Jun 2023 – Muatnaik hantaran jelik dengan niat menyakitkan hati, suami kepada wanita yang menanggalkan bajunya di sebuah kelab komedi didenda RM16,000 semalam oleh Mahkamah Sesyen.

Memetik laporan berita tempatan, V Alexander Navin telah menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Tertuduh juga diperintahkan untuk dipenjara lapan bulan sekiranya gagal untuk membayar denda tersebut.

Untuk pertuduhan pertama, pada 05 Jun tahun lalu, Alexander didakwa telah memuatnaik hantaran yang menyakitkan hati menerusi akaun Twitter ‘greenleafyconnoiseur’ dan di pautan Instagram dengan niat menyakitkan hati orang lain di mana ia didakwa dilakukan di Perdana View Condominium, Damansara Perdana.

Ia sekali gus menjadikan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, pada 16 Jun tahun lalu, lelaki berkenaan dituduh membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya menerusi aplikasi Youtube di lokasi yang sama serta kesalahan dilakukan mengikut seksyen yang sama.

Dalam rayuannya, menurut peguam Alexander, R Sivaraj, anak guamnya telah memeluk Islam pada 21 Julai tahun lalu dengan menukar nama Iskandar Dzulkarnain Chandran dan sudah berkahwin dengan Siti Nuramira Abdullah pada 06 Disember tahun lalu di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya.

Beliau justeru memohon agar hukuman ringan dikenakan ke atas tertuduh dengan alasan bahawa tertuduh menyesali perbuatannya.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya P Vitiya Monisha memohon agar mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam lagi penting daripada kepentingan tertuduh sendiri.

Oleh yang demikian, Azrul memerintahkan tertuduh didenda RM8,000 bagi setiap pertuduhan dan penjara empat bulan sekiranya gagal untuk melakukan bayaran.

Pada 17 April lalu, Siti Nuramira Abdullah yang juga seorang bekas hos sukarela sebuah kelab komedi didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melukakan perasaan orang lain dengan menyentuh isu agama sewaktu membuat persembahan komediri Jun tahun lalu.

Tiada ulasan: