"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jenis mulut longkang: Sanusi jangan lupa, Saidina Umar juga kaya

Wan Ji Wan Hussin

Minggu lepas, saya berbual dengan seorang pemimpin PKR. Saya bertanya, kenapa perlantikan semua jawatan penting dalam institusi Islam dalam Kerajaan Perpaduan mesti orang daripada Abim; kalau tidak Abim pun, mesti dari saluran Abim?

Apakah pentafsiran Islam di Malaysia mahu dibentuk dalam versi Abim?

Lagi pula, sejak terbentuk Kerajaan Perpaduan, apa agenda Islam yang orang-orang Abim berjawatan sudah laksanakan dalam pentadbiran kerajaan Pepaduan?

Kenapa konsep Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih kabur lagi?

Jawapan pemimpin terbabit kepada saya amat ringkas: “Ini soal perjuangan, syaikh. Kawan-kawan satu jemaah.”

Mendengar jawapan itu, saya berfikir agak lama juga. Saya berpendapat, jawapan itu diberikan ekoran daripada gaya berfikir yang salah.

Pada saya, gaya berfikir yang betul adalah sesuatu urusan itu, hendaklah diberikan kepada orang yang berkelayakan.

Kalau diserahkan hanya kerana daripada jemaah sendiri tanpa dilihat pada sudut keahlian dan kemampuan, Nabi SAW kata, tunggulah saat kehancuran.

Selepas seminggu perbualan itu, saya tertengok satu ucapan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dalam Tik Tok yang menyebut Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak bercakap untuk menoktahkan kemiskinan kerana beliau tidak pernah miskin.

Mendengar ucapan menteri besar Kedah dalam Tik Tok itu, sekali lagi tercetus dalam minda saya berkenaan gaya berfikir yang salah.

Hal ini kerana urusan hendak bantu orang miskin dalam bernegara, bukan mesti daripada orang yang pernah miskin, tetapi perlu kepada orang yang ada kebijaksanaan dalam ilmu ekonomi dan menyusun polisi ekonomi yang berpihak kepada orang miskin serta jujur dalam pengurusan dalam hal ehwal kewangan negara.

Saya tidak tahu, apakah benar-benar perdana menteri daripada keluarga miskin atau tidak. Saya tidak ada maklumat berkenaan hal itu.

Namun, maklumat yang saya tahu, Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berasal daripada keluarga yang bukan miskin.

Jadi, menteri besar Kedah kutuk perdana menteri ini, apakah di sebaliknya tersirat maksud pukul Anwar Ibrahim sindir Hadi Awang?

Saya berpendapat, mahu menoktahkan kemiskinan bukan mesti daripada orang yang pernah miskin, tetapi perlu datang daripada orang yang ada ilmu ekonomi serta jujur dan amanah dalam usaha hendak membasmi kemiskinan.

Kalau pernah miskin, tetapi tidak ada ilmu urus ekonomi seperti menteri besar Kelantan, masalah kemiskinan di Kelantan, sampai hari ini tidak dapat diselesaikan.

Kalau pernah miskin, lalu kaya dan lupa diri sehingga tidak beramanah dalam urusan ekonomi rakyat seperti berlaku pada pentadbiran negeri Kelantan yang exconya pakai kereta mewah, bukan sekadar kemiskinan tidak dapat diselesaikan, masalah asasi bagi rakyat awam seperti air bersih pun tidak dapat diselesaikan.

Mungkin pemimpin PAS di semua peringkat lupa bahawa Saidina Umar ialah salah seorang sahabat Nabi yang kaya.

Tetapi antara kejayaan Saidina Omar yang dibanggakan dalam lipatan sejarah adalah beliau berjaya membentuk polisi ekonomi yang baik dalam menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat pada zamannya.

Umar bin Abdul Aziz yang merupakan cicit Saidina Omar juga berasal daripada keluarga kaya. Dia daripada keturunan bangsawan.

Namun, polisi hadapi kemiskinan rakyat yang beliau bentuk, ternyata diakui baik oleh pengkaji di dunia Islam dan barat.

Pada saya, gaya berfikir yang betul juga salah satu perkara penting untuk memastikan negara ini menjadi baik.

Tiada ulasan: