"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dakwaan keselamatan Sanusi terancam, polis akan panggil Ahli Parlimen PAS

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen Kedah akan dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan keselamatan Menteri Besar Sanusi Nor terancam, kata ketua polis negeri Fisol Salleh.

Fisol berkata empat laporan sudah dibuat setakat ini berkait perkara itu dan semua keterangan pengadu sudah diambil.

Katanya, pengawal peribadi dari polis turut ditugaskan untuk setiap menteri besar atau ketua menteri, dan polis sudah pasti mendapat maklumat sekiranya ada ancaman keselamatan terhadap mereka.

Bagaimanapun, katanya tiada laporan seperti itu diterima setakat ini.

“Saya tidak tahu adakah Sanusi melaporkan perkara itu (kepada pengawal peribadinya). Saya pasti dimaklumkan kerana saya ketua polis Kedah. Tetapi saya tidak mendapat sebarang makluman,” kata Fisol.

Fisol juga menyeru semua calon yang bertanding dalam PRN pada 12 Ogos ini untuk membuat laporan polis sekiranya merasakan keselamatan mereka terancam.

Pada Ahad lalu, Sanusi tidak hadir ke satu ceramah di Sungai Petani bagi menyokong calon Perikatan Nasional (PN) Bukit Selambau Azizan Hamzah.

Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden pada akhir ceramahnya mendakwa Sanusi tidak hadir kerana dinasihatkan tidak berbuat demikian selepas menghadiri satu mesyuarat di Kuala Lumpur dan bagi melindunginya daripada masuk ke “perangkap seseorang”.

Mengulas dakwaan itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata Afnan sepatutnya menghubungi polis sekiranya merasakan keselamatan Sanusi terancam.

Sanusi yang juga ketua PN Kedah juga tidak hadir ke satu program di Padang Serai pada malam Sabtu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan dakwaan Afnan bahawa seseorang cuba “memerangkap” Sanusi.

Beliau yang dipetik Malaysia Gazette sebagai berkata mungkin yang dimaksudkan perangkap oleh Sanusi itu merujuk kepada perkara lain.

“Dia (Sanusi) mungkin terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Itu yang tidak dapat pergi kempen. Bila nak pergi syarahan (ceramah) memang ramai orang dalam kesesakan lalu lintas jadi dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Mungkin itu maksud perangkap,” katanya.

Tiada ulasan: