"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu minum arak: Masyarakat Buddha Siam tuntut Syahir mohon maaf

Malaysiakini

Persatuan Dewan Perniagaan Bumiputera Siam Malaysia (DPBSM) menuntut permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berhubung dakwaan sami Buddha membenarkan minum arak dalam agama itu.

Presidennya, Bon Soom Inong berkata kenyataan itu tidak benar sama sekali kerana larangan minum arak adalah antara ajaran dasar moral agama Buddha.

Katanya, kenyataan yang dibuat Syahir mengguris hati masyarakat Siam di negara ini.

"Kenyataan itu tidak benar sama sekali kerana larangan minum arak adalah antara ajaran dasar moral agama Buddha yang dikenali sebagai Pancasila (Lima Sila) dan terkandung di dalam Kitab Tripitaka, kitab suci agama Buddha.

"Sila kelima di dalam Pancasila menyatakan: 'Suramerayamajja pamadatthana veramani sikkhapadam samadiyami' yang bermaksud menahan diri daripada meminum minuman memabukkan.

"Oleh itu, kami seluruh masyarakat Siam yang beragama Buddha kesal dan mengecam kenyataan yang dibuat oleh pemimpin PAS itu serta menganggapnya keterlaluan, tidak sensitif dan tidak menghormati institusi dan agama Buddha," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, dalam sesi Debat Model Ekonomi Baru Syahir telah membuat kenyataan bahawa "sami Buddha menyebutkan minum arak dibolehkan dalam agama Buddha".

Debat antara Syahir dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli itu telah disiarkan secara langsung oleh RTM dan Astro Awani.

Sementara itu, Bon berkata kenyataan itu telah melukakan hati dan menimbulkan kemarahan seluruh masyarakat Siam dan penganut agama Buddha di negara ini.

"Sehubungan itu, kami mendesak YB Syahir memohon maaf secara terbuka kepada seluruh Masyarakat Siam dan menarik balik kenyataan beliau itu. Jika beliau enggan berbuat demikian, tindakan membuat laporan polis akan di buat.

"Kami berpendapat kenyataan pemimpin PAS itu sebenarnya adalah percubaan untuk mengheret institusi sami dalam kancah politik, sedangkan sami sebenarnya adalah institusi yang suci pada sisi agama Buddha.

"Ia adalah institusi yang neutral, tidak mempunyai sebarang kepentingan politik dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik," katanya lagi.

Sehubungan itu, Bon menyeru kepada semua parti politik di negara ini supaya memahami kedudukan dan sensitiviti berkenaan.

Tiada ulasan: