"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peja nafi ‘jual kerusi’

Mohamad Fadli

SEREMBAN: Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu menafikan dakwaan beliau “menjual kerusi” dalam pemilihan calon Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN Negeri Sembilan itu yang lebih dikenali sebagai Peja berkata, jika boleh “menjual kerusi”, mereka tidak akan menghadapi masalah kewangan seperti sekarang.

“Kami berkempen dengan begitu ala kadar…kami tak ‘jual kerusi’, malah bebanan kepada pimpinan dalam menghadapi pilihan raya ini amat getir dan besar.

“Tak apalah, kepada mereka yang telah membuat dakwaan fitnah saya menjual kerusi itu, saya ampunkan supaya mereka tak payah cari saya di Padang Mahsyar nanti,” katanya selepas majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best di Sendayan malam tadi.

Calon bebas DUN Sikamat, Mohammed Hafiz Baharudin dilaporkan mendakwa wujud elemen “jual kerusi” dalam pemilihan calon PN Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, beliau yakin PN mampu memberi saingan hebat dalam PRN walaupun pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sering melaungkan kemenangan 36-0 di Negeri Sembilan.

“Kami yakin akan memberi saingan amat hebat. Kalau mereka (BN dan PH) yakin dengan 36-0, mana mungkin pemimpin utama negara terpaksa datang ke sini saban malam sejak penamaan calon? Saya ingat empat malam berturut-turut.”

Tiada ulasan: