"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sanusi dinasihat tidak hadiri ceramah PN

M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bh.com.my

Sungai Petani: Ketiadaan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Bersama Menteri Besar di Padang Awam Taman Ria di sini, malam tadi menyebabkan ribuan penyokong kecewa.

Mengikut poster yang dikongsi di akaun Facebook Muhammad Sanusi, beliau sepatutnya menyampaikan ceramah dan berkempen bersama Pengerusi PN Merbok yang juga Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan dan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Afnan Hamimi bagaimanapun mengumumkan ketiadaan Muhammad Sanusi dan berkata, menteri besar dinasihatkan untuk tidak menghadiri ceramah terbabit.

"Saya nak baca kertas ini, kertas ini tulis berita yang menyedihkan. Pagi tadi Menteri Besar mesyuarat di Kuala Lumpur, mesyuarat penting. Dalam mesyuarat tersebut dibincang beberapa perkara penting, perkara besar. Daripada itu dinasihatkan beliau tidak meneruskan ceramahnya pada malam ini (tadi).

"Ini kerana ada perangkap yang dipasang oleh musuh, perangkap itu mengkehendaki Menteri Besar kita masuk ke dalam itu, (kemudian) dia pegang dan buat sesuatu kita tak jangka, jadi dalam waktu ini, kita kena bersedia segala kemungkinan," katanya.

Kelmarin, Muhammad Sanusi turut tidak menghadiri program Sembang Santai Bersama Panglima Perang PN di Padang Awam Taman Serai Wangi, Padang Serai yang bermula 5 petang.

Kegagalan beliau menghadiri program mencetuskan khabar angin mendakwa Ketua Pengarah PN yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Jeneri itu ditahan pihak berkuasa susulan siasatan kes kecurian unsur nadir bumi (REE).

Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan tindakan itu dilakukan Bukit Aman, peringkat Kontinjen Kedah mahupun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kedah seperti dilaporkan media tempatan.

Dalam sidang media pagi tadi juga, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kemungkinan Muhammad Sanusi ditahan dalam masa terdekat ini.

Tiada ulasan: