"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli perniagaan didakwa bunuh isteri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang atas tuduhan membunuh isterinya dalam kejadian bulan lalu.

Tertuduh, Mohamed Imran Mohamed Yunos, 32, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain, lapor Berita Harian.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Imran didakwa membunuh Azween Noor Alias, 38, di sebuah unit pangsapuri di Jalan Sutera Pines, dekat Hulu Langat, antara 8 malam hingga 10.30 malam, 22 Julai lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran manakala tertuduh diwakili peguam P Gunalan.

Mahkamah menetapkan 13 Sept ini bagi sebutan semula kes sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Sebelum ini dilaporkan, seorang lelaki yang memukul isterinya sehingga mati dalam kejadian di Kajang, ditahan ketika menyembunyikan diri di Senai, Johor, 31 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kajang.

Tiada ulasan: