"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Insiden kekecohan Sungai Long, wanita didenda RM2,000

NORLIZAH ABAS

KAJANG:  Seorang wanita yang videonya tular dalam satu kekecohan di sebuah kolej swasta minggu lalu, didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan merosakkan telefon bimbit dan mencederakan seorang pelajar kolej wanita.

Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhkan hukuman denda itu selepas tertuduh Chew Soo Li, 51, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama dua bulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit Iphone X milik Jocelyn Foo Qai Yen, 20, sehingga menyebabkan kerugian RM25.

Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Sungai Long, Bandar Sungai Long di sini pukul 2 petang pada 3 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Jocelyn di sebuah kedai serbaneka Bandar Sungai Long pada waktu dan tarikh yang sama.

Untuk pertuduhan kedua itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam bela tertuduh, S. Priyalatha, memohon tertuduh dikenakan denda minimum dan munasabah bagi kedua-dua pertuduhan terbabit.

“Suami anak guam berusia 54 tahun, tidak bekerja atas faktor kesihatan dan usia, selain  mempunyai penyakit kolestrol yang tinggi dan bergantung kepada ubat. Tertuduh bergantung kepada duit simpanan suami untuk menyara hidup.

“Anak guam adalah ibu empat anak berusia lapan hingga 21 tahun, pengalaman tertuduh direman sebelum ini menjadi pengajaran kepadanya, selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan terbabit,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim, memohon hukuman sewajarnya sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan itu.

Sabtu lalu, media melaporkan polis telah menahan seorang wanita yang aksinya dirakam membuat kecoh di sebuah kolej swasta di Kajang, dekat sini, baru-baru ini.

Wanita berusia 51 tahun ditahan selepas polis menerima aduan daripada seorang pelajar kolej swasta wanita berusia 20 tahun.

Dalam video pertamanya, suspek kelihatan berada di dalam kereta dan didakwa mencampak wang ke atas jalan selepas tidak puas hati kerana tayar keretanya dikunci dan disaman penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPK).

Dalam video kedua, suspek dilihat menghampiri dua pelajar kolej dengan seorang daripadanya sedang memegang telefon bimbit dan kelihatan seperti sedang membuat rakaman suara bersama rakannya.

Suspek kemudian mahu meminjam telefon bimbit berkenaan tetapi pelajar wanita itu memaklumkan dia sedang menggunakan gajet rakannya untuk membuat tugasan.

Suspek kemudian merampas telefon bimbit itu dan mencampaknya ke atas jalan raya. -UTUSAN

Tiada ulasan: