"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PDRM sedia siasat dakwaan Sirul terima RM1 juta untuk 'tutup mulut'

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menjalankan siasatan berhubung dakwaan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar yang mendakwa menerima RM1 juta ketika berada di Australia.

Wang berkenaan dikatakan daripada seseorang bagi menutup mulut berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Ketua Polis Negara Tan sri Razarudin Husain berkata, Sirul melalui peguamnya boleh tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan itu dilakukan.

Katanya, kenyataan dikeluarkan Sirul itu sama sekali tidak adil kepada pihak Malaysia memandangkan dia sudah melalui proses perbicaraan menerusi tiga peringkat iaitu di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

"Menerusi peluang itu, beliau melalui peguamnya sama sekali tidak menyatakan mengenai apa-apa keterangan yang dibangkitkan mengenai isu pemberian wang itu.

"Suspek kedua iaitu bekas anggota polis, Azilah Hadri juga tidak menyatakan perkara begitu di mana-mana mahkamah. Jika ini berlaku, dia perlu buat laporan bagi kita (polis) menjalankan siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Sirul yang disabitkan kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006 dilaporkan merayu untuk meneruskan hidup di Australia kerana merasa tidak selamat untuk kembali ke Malaysia.

Menerusi satu wawancara eksklusif bersama Al Jazeera English 101 East disiarkan semalam, dia turut memohon maaf kepada keluarga mendiang Altantuya, malah mendakwa tidak bertanggungjawab ke atas pembunuhan itu walaupun sudah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Persekutuan.

Beliau mendakwa dijadikan 'kambing hitam' dan terperangkap dalam permainan politik serta mengakui menerima RM1 juta ketika berada di Australia daripada seseorang bagi menutup mulut.

Tiada ulasan: