"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Semangat melawan al-Ahzab di sekolah

Al-Abror Mohd Yusuf

Allahumma ya munzilal kitab
ya mujriyassahab, ya hazimal ahzab
ihzimhum! Ihzimhum! Ihzimhum!
Wansurna alaihim.

Barangkali dakwaan bahawa qunut tidak boleh dibacakan di sekolah bukanlah permulaannya. Ia cuma suatu kelangsungan daripada rasa tidak senang, kebencian dan semangat yang tidak ketahuan yang tidak dibendung.

Ia kemudian dibugarkan dengan segala cara yang ada, termasuk dalam kalangan pelajar ketika sekolah sepatutnya menjadi institusi yang membentuk anak-anak kita waras dan penuh dengan nilai manusiawi.

Bacaan qunut nazilah itu adalah kata-kata yang sangat benar, tetapi sudah tentu ia dilafazkan secara salah di tempat yang salah juga apabila ia bergema di atas padang ketika kejohanan sukan berlangsung!

Benar, ia adalah peristiwa yang berlaku di sebuah sekolah di Perak baru-baru ini. Bacaan itu mungkin dijadikan pembakar semangat dalam kalangan para pemain sebelum mereka melangkah masuk ke gelanggang.

Cuma barangkali para pelajar terbabit terlupa bahawa yang ditentang itu adalah anak-anak muda yang lebih kurang sama saja dengan mereka.

Dalam keadaan begitulah mereka itu melafazkan:

Ya Allah hancurkan kumpulan mereka
Ya Allah pecahkan pakatan mereka
Ya Allah leburkan pendirian mereka
Ya Allah musnahkan langkah mereka.

Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka!

Kemudian dilanjutkan sepenuhnya kepada:

Yang turunkan kitab
Yang gerakkan awan
yang tewaskan tentera Ahzab

Kalahkan mereka!
Kalahkan mereka!
Kalahkan mereka!
Dan kemenangan untuk kami.

Ia suatu kejohanan bertaraf setempat, membabitkan pelajar belasan tahun, mengejar piala yang sangat sederhana dan setiap kali wisel penamat perlawanan ditiup para pemain bersalaman.

Dalam keadaan begitu ada yang sanggup menganggap pasukan lawan sebagai tentera Ahzab!

Lebih memegunkan zikir itu dibaca dengan bebas dan tidak nampak sesiapa pun khususnya guru yang berkaitan menasihati, menegur atau memberikan panduan.

Atau adakah mungkin ia direstui? Sudah tentu kita berharap sebaliknya.

Kejahilan gagal dibasmi

Sukan sepatutnya menjadi wadah menyatukan kita semua di sebalik perseteruan yang terkawal. Ia adalah persaingan yang melibatkan semangat kesukanan.

Tetapi nampaknya sekarang sudah ada unsur melampau yang dibawa ke kawasan yang - sepatutnya - sangat selamat, damai dan meneduhkan. Laungan bersemangat untuk menang sehingga menganggap pasukan lawan sebagai tentera Ahzab adalah isyarat bahawa fikrah melampau sedang merebak.

Jika tidak dikekang, ia akan berakar umbi menjadi pohon yang tegap sebelum akhirnya ia menerbitkan buah-buah beracun yang kemudian dijadikan bahan untuk merosakkan negara.

Seperti selalu - dalam konteks ini - yang paling menjadi mangsa adalah agama itu sendiri.

Berbelas tahun lalu, ada seseorang yang berasa dirinya pencinta agama sebenar marah sungguh melihat seorang lelaki bukan Islam memakai lilitan kepala bertulisan Jawi.

Di mata si 'pemberani' itu, individu bukan Islam berkenaan sedang menghina Islam dan al-Quran, sedangkan lilitan kepala itu hanya bertulils: Parti Islam Semalaysia!

Selepas bertahun-tahun kejahilan itu gagal dibasmi. Ia semakin memburuk oleh sikap semberono sesetengah pihak termasuk segelintir manusia yang kita beri kepercayaan mengajar anak-anak agar tahu membela Islam melalui ilmu, dan membangunkan negara dengan waras.

Pun begitu kita terpaksa mengakui bahawa pertimbangan sangat mudah digoyahkan oleh mainan emosi dan naratif perkauman yang sempit. Ia disebarkan di luar pagar sekolah sebelum dibawa perlahan-lahan ke dalam bilik darjah.

Proses itu berlaku secara bersembunyi dan sederhana pada awalnya, namun kemudian disemarakkan dengan cara lebih berani kemudian apabila ia tidak dikekang.

Setakat mana ia bercambah dan berkembang adalah sesuatu yang wajar ditekuni dengan segera oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pun begitu, mungkin kita tidak perlu endahkan masalah ghuluw di sekolah atau institusi pendidikan dalam negara ini kerana apa yang patut lebih dirisaukan ialah apa lagi antics yang Kak KM akan dilakukannya esok lusa!

Tiada ulasan: