"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib nafi dakwaan pengaruhi Sirul

FMT Reporters

PETALING JAYA: Najib Razak menafikan dakwaan beliau cuba mempengaruhi atau menutup mulut bekas pengawal keselamatan, Sirul Azhar Umar, yang disabit kesalahan atas pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Bekas perdana menteri itu sebaliknya menggesa Sirul menamakan dalang di sebalik pembunuhan tersebut, susulan temubual Sirul dengan Al Jazeera.

Najib dalam kenyataan menerusi firma peguamnya, Shafee & Co, menggesa Sirul supaya menunjukkan keberanian dan mendedahkan sebarang maklumat yang diketahuinya, agar keadilan dapat ditegakkan.

Sirul dalam temubual itu secara tidak langsung bercakap tentang seorang ahli politik, namun enggan menamakan individu yang dia dakwa mengarahkan pembunuhan itu.

Menurut firma peguam Najib, temubual itu “membayangkan suatu kenyataan kabur bahawa anak guam kami berusaha campur tangan atau mempengaruhi Sirul, yang dikatakan untuk melindungi anak guam kami.”

Sirul, yang berdepan hukuman mati di Malaysia atas pembunuhan tersebut, mendakwa dia dibayar sejumlah wang oleh bekas peguamnya, Hasnal Rezua Merican, untuk tidak mengaitkan Najib dengan pembunuhan pada 2006 itu.

Hasnal menafikan dakwaan itu.

Shafee & Co menekankan bahawa Najib telah dilepaskan daripada sebarang penglibatan dalam kes itu, dan beliau tidak pernah dibabitkan dengan prosiding mahkamah.

Temubual Sirul itu dirakam selepas beliau dibebaskan daripada tahanan imigresen Australia, susulan mahkamah negara itu mengisytiharkan penahanan seseorang bukan warganegara tanpa visa tanpa tempoh menyalahi undang-undang.

Sirul ditahan sejak 2015 selepas dia keluar Malaysia sebelum keputusan akhir kesnya dibacakan oleh Mahkamah Persekutuan. Australia menolak permohonan suaka politiknya pada 2019.

Untuk membersihkan namanya, Najib menggesa kerajaan mengadakan libat urus dengan pihak berkuasa Australia untuk membawa pulang Sirul, agar dakwaannya boleh disiasat secara menyeluruh.

Najib juga berkata kerajaan harus memberi jaminan bahawa Sirul tidak akan berdepan hukuman mati sekiranya dia pulang, bagi memudahkan ekstradisi kerana Australia tertakluk kepada kewajipan tiada penghantaran pulang paksa yang ketat.

Tiada ulasan: