"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

10 termasuk lima penguat kuasa ditahan terima suapan RM12 juta dari sindiket

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 10 individu termasuk lima anggota penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah bernilai RM1.28 juta sekitar tahun 2019 hingga 2022.

Sumber berkata, semua individu berkenaan menerima antara RM500 sehingga RM1,000 daripada pemilik kenderaan dan orang tengah sebagai balasan untuk meminda dan mengubah butiran spesifikasi enjin kenderaan perdagangan daripada kenderaan diesel biasa kepada kenderaan diesel hijau di dalam sistem tanpa melalui prosedur ditetapkan.

"Semua suspek berusia antara 33 hingga 66 tahun itu ditahan antara jam 11 pagi hingga 3 petang didalangi empat ejen dan seorang pemilik syarikat yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita.

"Terdapat dua modus operandi dipercayai dilakukan oleh sindiket ini untuk mendapatkan status diesel hijau pada kenderaan mereka iaitu secara pindaan data kenderaan atau pembetulan butir-butir kenderaan," katanya.

Menurutnya, sindiket ini dipercayai bergerak aktif sekitar pada 2019 hingga 2022 dan nilai wang rasuah dianggarkan sebanyak kira-kira RM1.28 juta bagi lima anggota penguat kuasa yang terbabit terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.

"Ketirisan hasil kepada kerajaan yang terkumpul akibat daripada aktiviti sindiket ini dianggarkan sekitar kira-kira RM12.73 juta sejak tahun 2018 sehingga 2022.

"Pemilik kenderaan perdagangan yang mahukan pengurangan cukai jalan sebanyak 50 peratus tanpa mematuhi peraturan dan prosedur sah dipercayai akan menghubungi ejen untuk membuat pindaan ataupun pembetulan terhadap maklumat kenderaan mereka.

"Ejen pula akan menghubungi anggota penguat kuasa dan akan memberikan nombor pendaftaran kenderaan yang terbabit tanpa mengikut prosedur ditetapkan," katanya.

Katanya, susulan daripada maklumat diterima, SPRM menjalankan satu operasi khas hari ini dan menahan semua suspek di beberapa negeri iaitu Perak (2), Selangor (3), Johor (4) dan Sabah (1) selain tidak menolak kemungkinan terdapat tangkapan susulan selepas ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, semua suspek akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Ipoh, Putrajaya, Johor Bahru, dan Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah esok.

Tiada ulasan: