"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas ADUN Paroi sah tinggalkan AMANAH

HarapanDaily.com

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani sah keluar meninggalkan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman mengesahkan keputusan bekas Naib Pengerusi parti negeri itu.

Beliau mengakui terkejut dan kecewa dengan tindakan tersebut memandangkan pemimpin berkenaan tidak memaklumkan lebih awal kepadanya berhubung hasrat keluar parti.

“Beliau tidak menghubungi saya secara peribadi bagi memaklumkan keputusan itu, tapi menghantar mesej di kumpulan WhatsApp parti dalam jam 6 petang semalam.

“Beliau memberitahu telah menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung AMANAH Pusat bahawa mulai 20 November, beliau dan isteri tidak lagi jadi ahli parti.

“Saya rasa terkejut dan kecewa dengan keputusan beliau kerana ia dibuat secara tiba-tiba tanpa ada perbincangan terlebih dahulu,” katanya dipetik BH hari ini.

Untuk rekod, Taufek kali pertama menjadi ADUN Paroi ketika bertanding atas tiket Pas pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

Bertanding atas tiket AMANAH pada PRU13, beliau tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Ghazali Wahid.

Taufek kemudiannya kembali menjadi ADUN di kawasan sama selepas menang pada PRU14.

Dalam masa sama, MK Ibrahim yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan itu berkata, beliau tidak boleh berbuat apa-apa, termasuk menghubungi Taufek.

Hal ini memandangkan, jelasnya, Taufek sudah membuat keputusan lebih awal melalui surat yang dihantar kepada setiausaha agung parti.

“Saya belum hubungi beliau, tapi saya rasa tidak ada apa lagi boleh dibincangkan kerana beliau sudah pun membuat keputusan,” ujarnya.

Dalam masa sama, MK Ibrahim mengakui tindakan Taufek itu tetap memberi kesan kepada kekuatan AMANAH Negeri Sembilan, khususnya kawasan Rembau.

Jelasnya, ada yang meminta kepimpinan AMANAH Pusat memujuk Taufek supaya menarik balik keputusannya dan bagi pihak parti di peringkat negeri, segala keputusan diserahkan kepada pimpinan Pusat.

Pada PRN Ogos lalu, Taufek digugurkan untuk bertanding dan digantikan dengan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Negeri Sembilan, Norwani Ahmat.

Walau bagaimanapun, Norwani kecundang dalam pertembungan tiga penjuru apabila dimenangi calon Pas mewakili Perikatan Nasional (PN), Kamarol Ridzuan Mohd Zin.

Tiada ulasan: